PENANTIAN yang penuh penyeksaan. Begitulah ungkapan yang dapat digambarkan ketika mengimbau kembali cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi pemilik restoran hidangan Korea, K Garden Korean BBQ (K Garden).
Memulakan cerita, pemilik K Garden yang juga pasangan selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae berkata, mereka teruk dikecam di media sosial kerana didakwa sebagai ‘pelaris’ kedai untuk menarik pelanggan Muslim selain dituduh bukan pemilik kepada perniagaan itu.
Menurut Ryzal, beliau maklum mengenai kontroversi yang tular di media sosial dan mula mengambil langkah untuk memohon sijil halal secepat mungkin bagi menepis dakwaan tersebut.
“Kami mendapatkan khidmat konsultan agar K Garden mendapat sijil halal. Bagaimanapun, setelah sekian lama kami menunggu, sijil tersebut masih belum diperoleh.
“Banyak bahan mentah yang pihak konsultan beritahu ia memenuhi syarat Jakim, namun sebaliknya pula yang berlaku dan itulah sebabnya kami lambat untuk mendapatkan sijil halal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Sijil Halal K Garden di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Ikuti latihan, fahami prosedur halal
Sambung Ryzal, walaupun kerugian kira-kira RM10,000 selepas ditipu konsultan berkenaan, pihaknya tidak berputus asa untuk kembali memohon sijil halal selepas mendapat nasihat dan tunjuk ajar Jakim.
“Oleh sebab itu saya sendiri mengikuti latihan halal dan dari situ saya belajar banyak perkara berkaitan halal dan pensijilan halal ini.
“Setiap bahan yang digunakan di dapur perlu diperiksa satu persatu dan bukan sekadar daging sahaja.
Sementara itu, Maryam pula berkata, jika pihaknya menambah menu baharu atau menukar menu lain, kesemua bahan-bahan untuk hidangan tersebut perlu dikemas kini kepada Jakim. “Masakan Korea menjadikan proses lebih kompleks kerana melibatkan bahan import dari pelbagai negara. Itulah yang orang ramai tidak nampak betapa rumitnya proses ini,” katanya.
Bagi Ryzal, antara perkara yang dinilai Jakim sebelum disahkan halal termasuklah kebersihan dapur dan tempat penyimpanan makanan, kelayakan pembekal bahan mentah, rekod pengendalian makanan dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP).
“Malah perkara seperti pencahayaan dapur pun dinilai. Kami juga perlu hadiri kursus dan latihan berkaitan halal sebelum lulus audit,” katanya.
Dituduh tidak serius aspek halal
Mengulas mengenai kecaman yang diterima, mereka akui terpaksa mendiamkan diri sehingga permohonan sijil halal K Garden diluluskan.
“Sepanjang tempoh permohonan, kami tidak menghebahkan proses ini kerana bimbang akan berlaku salah faham lagi.
Selepas memohon kembali pensijilan halal melalui konsultan baharu yang berdaftar dengan Jakim, permohonan itu akhirnya berjaya direalisasikan dalam tempoh enam bulan.
“Akhirnya dengan sijil halal yang kami dapat ini, kami boleh menarik nafas lega sekali gus menepis pelbagai dakwaan segelintir pihak sebelum ini.
“Kini, cabaran baharu pula muncul iaitu mengekalkan pensijilan halal apabila kita menambah menu baharu.
“Setiap kali tambah menu, bahan-bahan perlu disemak semula. Makanan Korea pula cepat berkembang dan terdapat pelbagai jenis. Itu cabaran kami sekarang,” kata Mariam.
Kedua-dua mereka setuju halal bukan sekadar sijil dan status, bahkan ia merupakan amanah kepada pelanggan.
“Kami mahu orang ramai datang ke restoran K Garden dengan yakin,” kata ibu bapa kepada dua anak itu.