PERINGATAN takwa kepada ALLAH SWT acap kali diulang ketika khatib naik ke mimbar dan menyampaikan khutbah Jumaat setiap minggu, bahkan tidak sah pelaksanaan keseluruhan ibadah solat Jumaat jika khatib tidak mengingatkan jemaah mengenai pesanan takwa ini.
Ketika permulaan khutbah Jumaat bertajuk Halal benteng keutuhan akidah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, khatib menjelaskan, takwa bukan hanya menjauhi larangan ALLAH SWT, tetapi juga memilih yang halal dalam setiap urusan hidup.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Menurut Jakim, halal merupakan benteng akidah dan penjaga hati, malah setiap suapan makanan halal itu membawa kepada ketenangan jiwa, manakala setiap rezeki haram pula menggelapkan hati.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
“Oleh itu, halal bukan hanya apa yang masuk ke dalam perut, tetapi apa yang kita hasilkan, jual dan cari. Makanan halal menyuburkan iman, sementara rezeki haram memadamkan cahaya takwa.
Jangan asal sedap terus telan
Menyambung hujahnya, di era digital kini pula, penipuan halal muncul di hujung jari, antaranya melalui video masakan viral tanpa sumber, promosi makanan luar negara tanpa pensijilan halal dan budaya ‘asalkan sedap kita redah’.
“Ingatlah, Islam menuntut kita berhati-hati. Langkah seperti menyemak status halal melalui Portal Halal Malaysia merupakan jihad buat pengguna moden sekarang.
Menurut Jakim, kita sering melihat halal sebagai hukum makanan, sedangkan ia sebenarnya gaya hidup.
“Halal bermula daripada pekerjaan yang jujur, gaji yang bersih, urus niaga tanpa penipuan dan penggunaan teknologi tanpa unsur dosa.
“Menjaga halal dalam rezeki bukan hanya tanggungjawab peniaga, tetapi seluruh umat Islam,” hurainya.
Halal prinsip hidup
Ujarnya, halal dan toyyiban bukan semata-mata slogan industri, tetapi ia merupakan prinsip kehidupan.
“Apabila halal dijadikan budaya, ekonomi akan bersih, doa lebih mustajab dan masyarakat hidup penuh barakah.
“Halal juga membentuk ekosistem ekonomi yang diberkati. Industri halal global kini dianggarkan bernilai lebih AS$ 3 trilion (RM12.2 trilion) dan dijangka meningkat kepada AS$ 5 trilion (RM20.3 trilion) menjelang 2030. Malaysia hari ini berada di hadapan menjadi peneraju dunia dalam pensijilan halal,” kata khatib.
Namun jelasnya, keberkatan itu hanya akan kekal jika kita memelihara nilai kejujuran, amanah dan integriti dalam seluruh rantaian halal.
“Ini kerana rezeki yang tidak halal bukan sahaja mencemari perut, tetapi melemahkan doa, memadam keberkatan dan merosakkan generasi,” katanya.
Jelas Jakim, halal bukan hanya untuk diri, tetapi untuk membina ummah kerana rezeki halal itu menjadikan rumah tangga sakinah, masyarakat jujur dan negara aman.
“Sebaliknya apabila halal dipermainkan, ia akan menyebabkan kemudaratan kepada kehidupan.
“Dalam dunia digital juga, umat Islam perlu menjadi pengguna bijak dengan bukan hanya mengambil makanan yang halal, tetapi berfikir secara halal.
Sebagai penutup khutbah, Jakim mengajak umat Islam untuk menilai kembali bagaimana mencari, membelanjakan dan menikmati rezeki.
“Jangan hanya halal pada makanan, tetapi juga halal pada niat dan cara hidup. Jadikan halal bukan sekadar label, tetapi prinsip yang membentuk keperibadian dan maruah.
“Sesungguhnya rezeki yang halal itu sedikit pun lebih berharga daripada rezeki haram yang melimpah ruah kerana daripada suapan yang halal itu lahir doa yang diterima, anak yang soleh dan masyarakat yang diredai ALLAH,” katanya.
Sebagai kesimpulan, Jakim merumuskan:
1 - Halal merupakan cermin iman dan benteng akidah. Menjaga halal bermakna menjaga hati daripada kerosakan dan jiwa daripada noda.
2 - Halal ialah asas keberkatan dan kebahagiaan. Setiap rezeki halal membawa doa yang diangkat dan hidup yang tenang.
3 - Halal tanggungjawab bersama. Peniaga, pengguna, keluarga dan masyarakat mesti berganding bahu membina budaya halal sebagai identiti ummah.