Protes rumah kena roboh, 9 penduduk Kampung Papan tinggal dalam bilik sempit

Iklan
Ah Guat memilih untuk menetap di bilik sempit di kampung itu sebagai tanda protes perobohan rumahnya pada November tahun lalu.

KLANG – Sembilan penduduk Kampung Papan, Pandamaran di sini terpaksa memilih untuk tinggal dalam bilik sempit berkeluasan hanya 8X8 kaki persegi sebagai tanda protes selepas kediaman mereka dirobohkan pihak pemaju pada November tahun lalu.

Keadaan itu memaksa penduduk terbabit membina deretan sembilan unit menggunakan dinding papan lapis hasil gotong-royong sebagai tempat berteduh sejak tiga minggu lalu.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Ang Boon Hai, 65, berkata, meskipun terpaksa hidup dalam keadaan serba daif dan tidak selesa, dia tetap memilih untuk terus tinggal di kawasan itu kerana terlalu sayangkan kampung berkenaan.

"Saya sudah sebati kerana hampir 60 tahun tinggal di sini, walaupun bilik kecil dan berdebu, saya masih mahu berada di sini.

Iklan

Boon Hai

"Rumah asal saya dulu dibina oleh mendiang bapa dan nenek, kini semuanya sudah dirobohkan," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 29 rumah di Kampung Papan terlibat dalam kerja pengosongan yang dijalankan pada November tahun lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.

Boon Hai memberitahu, isterinya kini menyewa di tempat lain, namun dia memilih untuk kekal walaupun terpaksa tidur bersendirian dan berkongsi tandas dengan penduduk lain.

"Kalau ikut isteri berpindah, saya mahu borak dengan siapa? Saya sayangkan kampung ini walaupun serba kekurangan," ujarnya.

Boon Hai berkata, kemudahan asas yang ada amat terhad dengan hanya satu soket elektrik untuk kegunaan kipas selain terpaksa menahan panas pada waktu siang.

Seorang lagi penduduk, Tioh Ah Guat, 63, berkata, dia akan terus memperjuangkan isu perobohan rumah mereka walaupun menyedari keadaan serba kekurangan.

"Saya mula berpindah di bilik hari ini sebagai tanda protes kerana kami memang tak mahu keluar, sebab itu kami bina unit-unit kecil ini," jelasnya

Menurutnya, setiap unit hanya mampu didiami seorang kerana ruang terlalu sempit yang hanya memuatkan katil bujang selain terpaksa berkongsi kemudahan asas seperti tandas.

Ah Guat berkata, walaupun suami dan dua anaknya kini menyewa di tempat lain, dia tetap memilih untuk tinggal di kawasan itu bersama penduduk lain yang kehilangan rumah.

"Rumah saya yang dirobohkan itu alami kerosakan hampir 50 peratus dengan anggaran kerugian lebih RM70,000," jelasnya.

Tambahnya, tindakan mereka kekal di kawasan itu adalah untuk menuntut janji yang pernah diberikan sebelum ini.

"Kerajaan dan pihak berkaitan perlu tunaikan apa yang sudah dijanjikan sebelum ini. Kami mahukan kediaman yang sepatutnya.

"Kami akan terus tunggu di sini walaupun terpaksa hidup dalam keadaan serba daif,” katanya.

Penyelaras Gabungan Marhaen, S Arutchelvan atau dikenali sebagai Arul mendakwa, isu pemilikan tanah di Kampung Papan di sini masih dalam pertikaian undang-undang dan belum diputuskan mahkamah, namun tindakan merobohkan 29 rumah penduduk telah dilakukan lebih awal.

Arul dan sebahagian penduduk yang hadir pada sidang akhbar pada Khamis.

Menurutnya, kes berkaitan status tanah itu masih belum didengar sepenuhnya termasuk di peringkat Mahkamah Rayuan, sekali gus menjadikan perobohan berkenaan sebagai tindakan yang mendahului proses undang-undang.

"Jika kami menang di Mahkamah Rayuan, pihak yang merobohkan rumah perlu membayar pampasan terhadap rumah-rumah yang dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk berhak untuk terus tinggal di kawasan itu sehingga keputusan muktamad mahkamah dicapai.

"Justeru pembinaan sembilan unit bilik sementara dilakukan bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

"Rumah ini dibina di kampung ini yang memang diduduki penduduk sejak sekian lama sehingga isu ini diselesaikan,” katanya.

Arul berkata, pembinaan rumah sementara itu mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu dan disediakan khusus untuk penduduk terjejas terutama warga emas dan individu bujang yang tidak mempunyai tempat tinggal lain.

Dalam perobohan yang berlaku selama lima hari, katanya, sebanyak 29 rumah berpenghuni dimusnahkan, manakala puluhan lagi rumah tanpa penghuni turut terjejas

"Sepanjang tempoh itu juga, 23 penduduk ditahan, namun sehingga kini tiada sebarang pertuduhan dikenakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa tiada sebarang tawaran rasmi rumah sewa, rumah gantian atau bantuan di bawah Skim Smart Sewa Selangor diberikan kepada penduduk, sebaliknya kenyataan mengenainya hanya disebarkan melalui media.

"Sehingga kini tidak ada tawaran rasmi, surat tawaran dan sebarang perbincangan dengan penduduk," tegasnya.

Menurutnya, penduduk juga telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor selain mengadakan beberapa himpunan dan membuat puluhan laporan polis berhubung perobohan berkenaan.

Menurut Arul, anggaran kerugian keseluruhan akibat perobohan itu melebihi jutaan ringgit dengan nilai kerugian bagi setiap rumah dianggarkan antara RM50,000 hingga RM300,000 bergantung kepada struktur dan harta yang musnah.

"Dalam surat kepada Menteri Besar, kami minta pihak yang bertanggungjawab membayar pampasan kepada 29 keluarga terjejas, selain menuntut penyelesaian perumahan tetap untuk penduduk,” katanya.

Beliau menegaskan, penduduk tidak pernah menolak tawaran rumah berharga RM99,000 seperti didakwa, sebaliknya bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2018 yang meluluskan pembinaan perumahan, namun projek itu tidak pernah dilaksanakan.

Sehubungan itu, Arul menggesa kerajaan negeri membuka ruang rundingan segera dengan penduduk bagi mencari penyelesaian menyeluruh dan adil terhadap isu perumahan Kampung Papan yang berlarutan sejak sekian lama.

"Isu sebenar adalah kegagalan pihak terbabit membina rumah walaupun tanah seluas 95 ekar (38 hektar) telah diserahkan sebelum ini,” katanya.