Jangan terpengaruh politik pecah-belah – Sultan Selangor

Iklan
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta seluruh rakyat tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak khususnya ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.

Baginda bertitah, perpaduan yang dibina sekian lama tidak wajar digadai hanya kerana retorik yang memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya perlu terus dipertahankan demi masa depan negara.

Iklan
Iklan

"Negara ini milik kita bersama dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu," titah baginda pada hantaran di Facebook Selangor Royal Office sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 pada Isnin.

Baginda bertitah, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, malah kekuatan itu menjadikan negara ini unik serta dihormati di persada dunia.

Iklan

Sehubungan itu, baginda mahu setiap perayaan dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat muhibah serta saling hormat-menghormati antara semua kaum.

"Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” titah baginda.

Iklan

Baginda turut berharap rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama di samping menghormati perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana mahu perayaan sendiri dihormati.

"Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang penuh bermakna ini, Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Tionghua yang meraikannya di negeri Selangor dan juga di seluruh Malaysia.

"Semoga tahun yang baharu ini membawa kesejahteraan, kemakmuran serta kebahagiaan buat semua,” titah baginda.

Menurut Sultan Sharafuddin, perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun, malah lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.

"Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Kekuatan inilah yang menjadikan kita unik serta dihormati di persada dunia," titah Sultan Selangor.