KUALA SELANGOR – Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) mengakui pernah menerima kes membabitkan penggunaan wang palsu di kaunter tambah nilai, namun jumlahnya terpencil dan tidak membimbangkan setakat ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, kes itu jarang berlaku dan berada pada tahap terkawal, malah tidak memberi kesan besar kepada operasi harian lebuh raya tersebut.
"Kita pernah terima kes wang palsu, tetapi jarang-jarang berlaku, malah ia bukan isu besar di LATAR.
"Memang ada laporan, namun kesnya sangat rendah dan sudah lama tidak berlaku," katanya ketika ditemui semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya 2026 di Plaza Tol Ijok di sini pada Isnin.
Ahmad Fuad berkata, sebagai langkah pencegahan, pihak pengurusan menyediakan mesin pengesan wang palsu di semua lorong tambah nilai.
Katanya, penyediaan mesin pengesan itu adalah bagi memastikan setiap transaksi tambah nilai dapat disemak secara teliti sebelum diterima.
Menurutnya, langkah itu merupakan prosedur operasi standard yang dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan.
"Di lorong kaunter tambah nilai memang ada mesin pengesan wang palsu. Jika dikesan wang tidak tulen, kita akan tolak dan tidak terima," tegasnya.