PUTRAJAYA - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini meluangkan masa menyantuni warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Majlis Sentuhan Kasih Muhibah Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Majlis itu diadakan sebagai simbolik kepada semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadi teras kekuatan negara.
KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kor Ming turut mengagihkan 500 kotak limau mandarin kepada warga kementerian bagi menyuntik keceriaan dan mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kerja dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
"Dalam ucapan ringkasnya, menteri menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dalam organisasi kerajaan adalah kekuatan utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Di KPKT, setiap perayaan disambut dengan semangat kebersamaan demi menjalinkan silaturahim yang lebih erat serta memperkukuh semangat persaudaraan sesama warga kerja tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Kor Ming turut menyeru warga kementerian agar menghayati simbolik Tahun Kuda yang melambangkan keberanian dan kegagahan dengan menterjemahkannya melalui ketekunan serta dedikasi tinggi dalam melaksanakan amanah kepada rakyat. - Bernama