Sultan Selangor titah penyokong bola sepak jaga disiplin, maruah pasukan

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penyokong bola sepak agar sentiasa menjaga disiplin, tingkah laku dan adab sama ada di dalam stadium mahupun di luar, demi memelihara maruah pasukan dan negeri.

Baginda bertitah, para penyokong perlu mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mengundang hukuman atau denda serta menyalurkan ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul.

Iklan
Iklan

"Jauhilah najis dadah yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran. Sokongan yang bersemangat hendaklah disertai disiplin dan kebijaksanaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran dan Jualan Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor sempena Hari Legasi Merah Kuning di sini hari ini.

Iklan

Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Selangor FC bertitah, bola sepak merupakan instrumen sukan terbaik dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Baginda bertitah, sukan itu menjunjung tinggi nilai hormat dan kesukanan walaupun wujud persaingan sengit antara pasukan.

Iklan

"Inilah roh bola sepak yang wajar kita kenang dan warisi,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan harapan agar pasukan Selangor terus maju dengan penuh keyakinan serta memelihara legasi kegemilangan untuk generasi akan datang.

Sultan Sharafuddin mengimbau kegemilangan Selangor pada era 1960-an hingga 1980-an apabila pasukan itu berada di puncak liga dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa meskipun tanpa pemain import.

Baginda bertitah, kejayaan itu dicapai melalui usaha mencungkil bakat anak tempatan dari setiap daerah, selain menitikberatkan disiplin, kesungguhan dan semangat cintakan pasukan.

"Pendekatan ini telah melahirkan pemain berjiwa besar serta mewujudkan hubungan emosi yang kukuh antara pasukan dan penyokong,” titah baginda.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Bernama