Op Ambang Tahun Baharu: Ampang Jaya rekod saman trafik tertinggi

Iklan
Operasi berkenaan melibatkan kekuatan keseluruhan 413 pegawai dan anggota, terdiri daripada 350 pegawai dan anggota JSPT Selangor.

SHAH ALAM – Daerah Ampang Jaya merekodkan jumlah saman kesalahan trafik tertinggi di Selangor dengan 199 saman dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Op Ambang Tahun Baharu 2026 pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor itu bagi mengawal disiplin pemanduan serta mengekang pelanggaran undang-undang sepanjang sambutan ambang tahun baharu.

Iklan
Iklan

"Hasil pemantauan di lapangan mendapati sebanyak 1,206 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang didapati gagal mematuhi peraturan trafik.

"Selain Ampang Jaya, daerah Shah Alam merekodkan 161 saman, diikuti Petaling Jaya (156), Klang Utara (124), Klang Selatan (80) dan Sungai Buloh (74), manakala daerah lain turut berada di bawah pemantauan rapi pihak polis," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Iklan

Katanya, operasi berkenaan melibatkan kekuatan keseluruhan 413 pegawai dan anggota, terdiri daripada 350 pegawai dan anggota JSPT Selangor.

"Operasi turut disertai seramai 41 anggota bantuan daripada jabatan dalaman PDRM termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Tugas Am.

Iklan

"Penguatkuasaan ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama 19 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tiga anggota RELA bagi memastikan laluan kritikal di bawah pentadbiran Kontinjen Selangor berada dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya.

Menurutnya, sebanyak 93 buah kenderaan turut disita dalam operasi sama atas pelbagai kesalahan trafik.

"Operasi turut manahan seramai tujuh individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 antaranya dua tangkapan di bawah Seksyen 45A(1), dua tangkapan di bawah Seksyen 42(1) dan tiga tangkapan di bawah Seksyen 108(3).

"Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan undang-undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang awam," katanya.

Tegasnya, orang ramai diseru agar sentiasa mengamalkan disiplin pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan bersama.