KUALA LUMPUR - Seni persembahan sering dianggap sebagai cerminan identiti dan jiwa sesebuah masyarakat, ia menjadi cabaran kepada pelajar serta bakat muda di kawasan luar bandar untuk akses kepada pendidikan tarian tradisional secara profesional.
Menyedari jurang itu, ASK Dance Company (ADC) dengan sokongan berterusan Yayasan Sime Darby (YSD) giat melaksanakan program pendidikan tarian yang merentasi negeri melibatkan sekolah, institusi pengajian dan komuniti luar bandar di seluruh negara dalam memastikan warisan tari Malaysia dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, latar belakang atau kemampuan kewangan.
Kerjasama strategik yang dijalin sejak 2011 itu bukan sekadar berbentuk pembiayaan, malah merangkumi bimbingan tadbir urus dan pembangunan organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, sokongan diberikan sejak peringkat awal penubuhan ADC ketika ahlinya terdiri daripada penari muda yang masih kurang pengalaman dalam pengurusan organisasi.
Menurut beliau, usaha memperkasa bakat muda melalui seni amat penting bagi memelihara warisan budaya negara serta menanam rasa bangga terhadap kepelbagaian tradisi Malaysia.
“ADC merupakan ilham Profesor Joseph Gonzales, tokoh seni tari yang membawa permohonan penajaan kepada YSD pada peringkat awal. Beliau berperanan penting dalam membentuk visi syarikat sebagai jambatan budaya dan sosial melalui seni tari, sekaligus memastikan usaha ini mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang.
“Melalui kerjasama kami dengan ADC, kami berharap dapat menyediakan peluang yang bukan sahaja mengasah kemahiran tetapi juga menanam rasa bangga terhadap tradisi yang pelbagai," katanya dalam satu kenyataan.
Antara kisah kejayaan program ADC ialah Jackson Anak Janda dari Sri Aman, Sarawak yang mengenali ADC pada usia 15 tahun menerusi bengkel Forging Traditions pada 2017 dan kini dia merupakan penari sepenuh masa, sekali gus membuktikan bahawa peluang yang adil mampu mengubah masa depan seseorang.
ADC diasaskan oleh tokoh seni tanah air dan antarabangsa, Profesor Joseph Gonzales berkata, inisiatif yang disediakan bukan sahaja melatih teknik tarian, malah mengukuhkan kefahaman tentang identiti dan sejarah di sebalik setiap gerakan.
“Di ADC, kami percaya tarian harus menjadi jambatan, bukan penghalang. Kami mahu melahirkan generasi penari yang memelihara tradisi serta berani berinovasi,” katanya.
Sejak diperkenalkan, program Forging Traditions memberi manfaat kepada lebih 3,388 pelajar, 850 guru dan 320 sekolah di seluruh Malaysia selain menghimpun 80 penggiat seni menerusi produksi tahunan 'Setanggi Tari Melayu'.
ADC turut memberi penekanan kepada keterangkuman tarian dari Sabah dan Sarawak dalam produksi arus perdana serta memperkasa pendidik melalui program Train the Trainers dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda.
Terbaharu, ADC turut melaksanakan program pembangunan komuniti 'Tari Untuk Semua' bagi belia B40 berusia tujuh hingga 17 tahun di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang dengan sokongan Malaysian Community and Education Foundation (MCEF).
ADC juga merancang menubuhkan pusat latihan khusus di Kuching, Sibu, Limbang, Kota Belud, Tawau dan Ranau sekali gus menjadi hab seni setempat yang mampu melahirkan bakat berkualiti secara berterusan.