‘Besar harapan kami Najib bebas hari ini’ - Penyokong

Iklan
Raidah (tengah) melaungkan 'Bebas Najib' di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – “Besar doa kami sempena malam Jumaat, bermunajat kepada ALLAH SWT agar Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan serta kes beliau digugurkan hari ini.”

Itu luahan seorang penyokong tegar, Raidah Rashid, 65, atau mesra dikenali sebagai Kak Roy yang menantikan keputusan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut Raidah, beliau bersama rakan-rakan daripada kumpulan Friends of Najib tiba dan berkumpul di kawasan sekitar mahkamah seawal jam 6.45 pagi sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Harapan kami adalah agar kes yang telah kami nantikan selama tujuh tahun ini dapat diselesaikan. Bertahun-tahun kami berdoa. Hari ini, beliau mesti dibebaskan,” katanya.

Iklan

Sinar Harian melaporkan, nasib sama ada Najib akan dibebaskan atau disabitkan kesalahan dalam empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB akan diputuskan hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman dijangka membacakan keputusan tersebut pada jam 9 pagi.

Iklan

Ia merupakan kes jenayah terakhir yang masih di peringkat perbicaraan melibatkan Najib, 72 tahun.

Sekiranya mahkamah mendapati barisan pembelaan Najib yang diketuai oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, bekas Presiden UMNO itu boleh dibebaskan serta-merta.

Bagaimanapun, jika mahkamah mengambil pendekatan berbeza, hakim akan menjatuhkan hukuman terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagi empat kes rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, bagi 21 kes AMLA, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga akan menentukan sama ada hukuman penjara itu akan berjalan secara serentak atau berasingan bagi kesemua 25 pertuduhan.

Walau apa pun keputusan yang akan diumumkan, kedua-dua pihak, iaitu pendakwaan mahupun pembelaan, masih mempunyai hak untuk merayu ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Seramai 50 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 lalu.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang berlangsung selama 58 hari.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu secara keseluruhan mengambil masa 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan yang bermula pada 21 Oktober lalu.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Sementara itu, saksi utama pembelaan termasuk Najib sendiri; bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin; adik kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud; dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pihak pendakwaan pada asalnya diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebelum kes diambil alih oleh pasukan Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Datuk Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Bagi pihak pembelaan, selain Tan Sri Muhammad Shafee, Najib turut diwakili oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala kesemua pertuduhan pengubahan wang haram berlaku antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi yang sama.