PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa memberitahu, menyampaikan ‘salam’ melalui orang perantara merupakan amalan biasa buat umat Islam namun memberi makna berbeza buat bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Panel tiga hakim dipengerusi Datuk Nordin Hassan berkata demikian sebelum mengarahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ke penjara serta-merta berhubung sembilan kes rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Ketika membaca keputusan penghakiman selama 105 minit, Nordin berkata, salam yang disampaikan Mohd Isa kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel membawa maksud tersirat.
Katanya, ada bukti bahawa komunikasi dalam bentuk memberi salam oleh Mohd Isa selaku responden, bertujuan meminta atau meminta rasuah.
“Menyampaikan salam melalui perantara adalah amalan biasa, tetapi mahkamah memutuskan, dalam konteks komunikasi salam oleh responden, menunjukkan perbuatan permintaan suapan.
“Selaku pegawai khas responden, tidak mungkin Muhammad Zahid Md Arip yang juga saksi pendakwaan ke-21 akan meminta atau menuntut wang geran untuk diri sendiri,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Beliau berkata, mustahil Muhammad Zahid sebagai perantara, akan bertindak dengan bebas dan sesuka hati tanpa kebenaran Mohd Isa
Bukan itu sahaja katanya, ada bukti menunjukkan responden telah menggunakan perantara itu untuk meminta dana politik daripada seorang ahli perniagaan yang syarikatnya akan mendapat manfaat daripada kelulusan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Katanya, responden selaku pengerusi FICSB yang terlibat dalam kelulusan pembelian MPHS daripada GAPSB, menyampaikan salam beberapa kali kepada Ikhwan.
AKAN MENYUSUL