Lebih 76,000 barang kes bernilai RM1.5 juta dilupuskan

Iklan
Pelupusan turut melibatkan 1,150 barang kes berkaitan perjudian, noda serta kesalahan di bawah enakmen hiburan membabitkan 224 kertas siasatan.

SHAH ALAM – Sebanyak 76,118 barang kes termasuk senjata tiruan menyerupai M4, M16 dan raifal tempur dilupuskan polis selepas disita sepanjang 2024 hingga awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pelupusan barangan kes bernilai keseluruhan RM1.5 juta itu membabitkan 283 kertas siasatan selepas mendapat kelulusan Timbalan Pendakwa Raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan senjata tiruan berkenaan dikesan dalam beberapa kes jenayah ugutan, namun kes melibatkan senjata itu tidak begitu serius.

"Senjata tiruan ini digunakan bagi tujuan ugutan, namun kes melibatkannya tidak banyak dan melibatkan satu atau dua kes sahaja.

Iklan

"Kita siasat kes ini di bawah Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan memiliki senjata tiruan,” katanya pada majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Selasa.

Majlis pelupusan itu turut dihadiri Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Azlina Rasdi; Majistret Mahkamah Shah Alam, Muhammad Syafiq Sulaiman serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan dan Perundangan), Asisten Komisioner Nor Azizulkifli Mansor.

Iklan

Mengulas lanjut, Ramsay berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1,185 barang kes am dilupuskan melibatkan 34 kertas siasatan.

Menurutnya, barang kes am berkenaan merangkumi kenderaan, senjata berbahaya seperti pisau, parang dan batang besi selain beg, telefon bimbit serta dokumen berkaitan siasatan.

Menurutnya, polis turut melupuskan 73,008 barang kes kontraban melibatkan rampasan arak dan rokok bagi empat kertas siasatan.

"Selain itu, sebanyak 775 barang kes berkaitan bitcoin turut dilupuskan melibatkan 21 kertas siasatan,” katanya.

Ujarnya, pelupusan turut melibatkan 1,150 barang kes berkaitan perjudian, noda serta kesalahan di bawah enakmen hiburan membabitkan 224 kertas siasatan.

"Antara barangan terlibat termasuk komputer, komputer riba, telefon bimbit, tablet, minyak urut, tuala, tiub pelincir, tisu basah, kondom serta kunci atau kad akses premis,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelupusan turut membabitkan wang tunai berjumlah RM42,607 yang telah dilucut hak.

Katanya, wang berkenaan diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia hasil pelbagai siasatan termasuk kes kontraban, perjudian serta noda dan hiburan.

Tambahnya, pelupusan barang kes dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas semua proses perundangan selesai bagi memastikan pengurusan barang kes dilakukan secara telus dan sistematik.