IPOH – Kawasan persinggahan popular dalam kalangan pelancong di FT185 Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands yang tular susulan keadaan cerun di lokasi itu akan ditutup sementara.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, semakan awal mendapati lokasi berkenaan berada di luar seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, kawasan tersebut merupakan tanah tambak dan berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian tanah runtuh berdasarkan keadaan semasa cerun berkenaan.
"Kawasan tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31, Hutan Simpan Bukit Kinta dan berada berhampiran kawasan kedai makan yang menjadi tumpuan pengunjung.
“Sehubungan itu, JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Mohammad Nizar berkata, tindakan penutupan lokasi berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.
Menurut Mohammad Nizar, kawasan kedai makan berkenaan telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum melibatkan keluasan 0.4 hektar.
Katanya, permit tersebut berkuat kuasa mulai 16 Mei 2025 hingga 31 Disember 2025 dan kelulusan itu dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
"Sebagai langkah keselamatan awal, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan kepada pemegang permit mulai 26 Disember 2025.
“Penutupan itu akan dilaksanakan selama tempoh satu bulan bagi membolehkan siasatan lengkap dijalankan,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebuah kawasan persinggahan popular pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands menjadi tular di media sosial selepas gambar pemandangan dari udara mendedahkan keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan.
Menerusi perkongsian seorang pengguna aplikasi TikTok, rakaman menggunakan dron menunjukkan sebahagian tanah berhampiran kawasan tempat makan itu telah terhakis, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga maya.
Susulan itu, tahap keselamatan kawasan berkenaan dipersoalkan memandangkan ia sering menjadi tumpuan pelancong dan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan menuju ke Cameron Highlands.