IPOH - Hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat dengan paras mencecah hampir satu meter di beberapa kediaman di Kampung Dato’ Ahmad Syed, Meru Raya, di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi bagi memantau keadaan.
"Setibanya di tempat kejadian, didapati paras air di kawasan perumahan tersebut dianggarkan mencecah satu meter.
"Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan, air dilaporkan telah mula surut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Sabarodzi, pada peringkat awal, operasi dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk dan bersiap siaga untuk pemindahan sekiranya keadaan bertambah buruk, termasuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Ketua Operasi telah membuat ‘size up’ dan pemantauan di sekitar kawasan terjejas.
"Penduduk memaklumkan mereka tidak perlu dipindahkan dan hanya menunggu air surut sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, tiada sebarang pemindahan mangsa dilakukan dan tiada PPS dibuka.
Operasi disertai lima anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT-1) itu ditamatkan pada jam 8.13 malam selepas keadaan disahkan selamat.