IPOH - Harga ikan bawal putih yang melonjak sehingga RM65 sekilogram menjelang Tahun Baharu Cina mendorong peniaga di Pasar Besar Ipoh mengambil keputusan untuk tidak menjual ikan tersebut.
Tinjauan Sinar Harian di pasar berkenaan mendapati, tiada gerai yang menjual ikan berkenaan walaupun permintaan tinggi disebabkan ia tertakluk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina seperti ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Neger dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Lee, 68, memberitahu, ikan bawal putih sebelum musim perayaan Tahun Baharu Cina berharga dalam lingkungan RM45 hingga RM48 sekilogram sahaja.
Bagaimanapun katanya, harga tersebut naik mendadak disebabkan permintaan tinggi namun peniaga tidak berani menjualnya memandangkan ia salah satu daripada barangan kawalan.
"Dulu bawal putih RM48 sekilogram tapi sekarang naik sampai RM65 sekilogram. Kalau ikut harga kawalan, peniaga boleh jual maksimum RM42, jadi tak ada untung kalau jual.
"Memang orang sentiasa tanya ikan ini tapi sebab mahal sangat ramai peniaga tak berani nak jual," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Ipoh di sini pada Jumaat.
Mengenai operasi perniagaan menjelang perayaan itu, Lee yang lebih 40 tahun meniaga memberitahu gerainya ditutup selama 11 hari bagi menyambut Tahun Baharu Cina.
Seorang lagi peniaga, Roshni Abdullah, 68, berkata, kebanyakan peniaga ikan di pasar tersebut tidak menjual ikan bawal putih tersebut kerana harga yang tinggi.
Katanya, hanya bawal emas dan bawal hitam sahaja yang dijual di kedainya kerana harga masih berpatutan selain sentiasa ada permintaan.
Jelasnya, biarpun beberapa gerai menutup operasi dalam tempoh lama sempena Tahun Baharu Cina namun dia hanya bercuti sehari sahaja.
Roshni berkata, keputusan itu dibuat kerana orang ramai masih memerlukan barang-barang keperluan untuk menyambut Ramadan.
Sementara itu, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, bekalan ikan bawal putih mencukupi biarpun tidak dijual di Pasar Besar Ipoh.
Katanya, harga borong ikan bawal putih ditetapkan pada RM39 sekilogram manakala harga runcit RM42 sekilogram.
"Sekiranya ada warga emas ataupun individu yang lebih suka mengunjungi pasar tradisional seperti Pasar Besar Ipoh ini, saya cadangkan mungkin mereka boleh beli ikan lain dan sebagainya kerana harga lebih berpatutan.
"Kalau tak ada ikan bawal putih di sini mereka boleh cari di Econsave, mereka boleh cari di Lotus di mana harga itu memang harga berpatutan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Sesi Walkabout SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Besar Ipoh di sini pada Jumaat.
Kah Leong berkata, berdasarkan senarai di dalam SHMMP, harga borong ikan bawal putih ditetapkan pada RM39 sekilogram manakala harga runcit RM42 sekilogram.