IPOH – Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan secara mendadak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang bakal tiba serentak tahun ini.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, walaupun peniaga berhak mencari keuntungan, kenaikan harga perlu dilakukan secara berhemah dan beretika.
Menurutnya, kenaikan harga melampau bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna tempatan, malah boleh menjejaskan imej sesuatu kawasan khususnya destinasi pelancongan seperti Ipoh.
"Saya faham ada peniaga yang terpaksa bekerja ketika musim perayaan dan mungkin menaikkan harga sedikit untuk menampung kos lebih masa. Itu tidak menjadi masalah, tetapi janganlah naikkan harga secara mendadak.
"Kalau perantau balik ke kampung dan dapati harga barang terlalu mahal, ia memberi tanggapan negatif. Begitu juga pelancong. Jangan kerana mahu untung seketika, akhirnya rugi untuk jangka panjang," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Besar Ipoh di sini pada Jumaat
Kah Leong berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mahu menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara keras, namun tindakan tetap akan diambil sekiranya menerima aduan awam berhubung kenaikan harga tidak munasabah.
"KPDN tiada pilihan jika terdapat banyak aduan terhadap premis tertentu. Pengguna ada hak untuk mendapatkan harga berpatutan dan peniaga juga ada hak mencari keuntungan jadi perlu ada keseimbangan.
"Saya percaya pengguna juga bijak membuat pilihan. Jika harga sesuatu barang lebih tinggi di satu tempat, mereka boleh mendapatkannya di premis lain yang menawarkan harga lebih berpatutan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bekalan barangan keperluan asas seperti ayam dan telur di Perak adalah mencukupi bagi menampung permintaan sepanjang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
Menurutnya, KPDN Perak melalui cawangan di seluruh negeri akan menjalankan pemeriksaan harian bagi memastikan tiada gangguan bekalan yang boleh menyebabkan kenaikan harga.