PELABUHAN KLANG - Kira-kira 200 penduduk membabitkan 82 unit rumah di Blok C Flat Seri Perantau di sini terus berdepan kesukaran hidup selepas 18 hari tidak menerima bekalan elektrik susulan kebakaran mengejut di bilik sesalur elektrik (DB) flat itu sejak 7 Disember lalu.
Penduduk, Sulaiman Manan, 76, yang tinggal di tingkat tiga berkata, ketiadaan elektrik amat menyukarkan kerana dia bergantung kepada mesin oksigen setiap hari.
"Saya memang kerap alami sesak nafas dan bila elektrik tiada, dada mudah semput dan sukar menjalani rutin seperti biasa," ujarnya.
Sulaiman yang menetap berdua bersama isterinya berkata, keadaan kesihatannya tidak menentu dan masih menunggu bekalan asas itu dibaik pulih sepenuhnya.
"Saya tak berapa sihat, kalau kerap turun naik tangga, risau pula terjatuh atau pengsan," katanya.
Menurut Azlan Mahad, 43, kebakaran DB berlaku secara tiba-tiba di tingkat tiga flat itu menyebabkan kerosakan pada bilik sesalur elektrik hingga mengakibatkan semua bekalan terputus.
"Saya difahamkan kos baik pulih dianggarkan mencecah RM100,000 dan sehingga kini masih menunggu kelulusan serta tindakan pihak pengurusan bangunan,” katanya.
Pengerusi Blok C Flat Seri Perantau, Azizul Anuar berkata, pihak pengurusan telah memanggil pemimpin penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan bantuan sementara kepada mereka terjejas.
"Sebelum ini gangguan paling lama hanya dua hingga tiga hari, tetapi kali ini penduduk berdepan tempoh lebih panjang dan memerlukan sokongan segera," tambahnya.
Beliau memaklumkan, kerja baik pulih pendawaian elektrik dijangka mengambil masa dua minggu, tetapi tarikh sebenar permulaan masih belum ditetapkan kerana isu kos dan kajian teknikal masih dibincangkan.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerobok Iman Hawa, Nor Erma Mustapha berkata, kebakaran jam 4 pagi itu menyebabkan sistem pendawaian utama rosak teruk sehingga bekalan elektrik dan air gagal dipulihkan sepenuhnya walaupun hampir tiga minggu kejadian berlaku.
Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah membantu dengan melaksanakan pembaikan sementara bagi membolehkan sebahagian penduduk menerima bekalan elektrik secara terhad.
"Sebelum ini terdapat 128 unit membabitkan lebih 600 penduduk di Blok C ini terjejas, namun sebanyak 46 unit telah dibaik pulih sementara, itu pun terhad kepada penggunaan asas seperti lampu dan kipas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Nor Erma berkata, keadaan itu memberi tekanan besar kepada penduduk terutama warga emas, kanak-kanak dan keluarga yang mempunyai ahli sakit kerana ketiadaan elektrik turut menjejaskan bekalan air dan urusan harian.
Katanya, penduduk berharap pihak berwajib termasuk pengurusan flat dan agensi berkaitan dapat mempercepatkan kerja pembaikan menyeluruh sistem elektrik agar bekalan dapat dipulihkan sepenuhnya dan selamat.
"Kami berharap ada tindakan segera dan penyelesaian jangka panjang supaya kebajikan penduduk terbela serta kejadian sama tidak berulang," jelas beliau.
Sementara itu, Juruteknik Pengendali Pengurusan Bangunan, Sujono Masdi berkata, pihak syarikat yang mengendalikan pengurusan flat itu berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu dibangkitkan penduduk.
"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada semua pihak terlibat bagi memastikan masalah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah yang dihubungi pula berkata, kerajaan Selangor sedang mengambil langkah membantu penduduk terbabit.
Jelas beliau, pihaknya baru dimaklumkan mengenai keadaan itu melalui video yang tular dan surat daripada Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengambil beberapa tindakan pembaikan dan bantuan segera.
"Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air selain turut menjejaskan lif, pam air dan urusan harian penduduk.
"Tambahan pula, masalah tunggakan bil elektrik oleh sebahagian penghuni menyukarkan proses pemulihan,” katanya.
Menurut Borhan, Flat Seri Perantau tidak mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bangunan (JMB) menyebabkan pembayaran utiliti dan penyelenggaraan tidak diuruskan dengan baik.
Beliau berkata, masalah tunggakan kira-kira RM4 juta kepada TNB menambahkan lagi kesukaran selepas kebakaran berlaku.
"Walaupun mekanisme bantuan sedang diusahakan, pengurusan yang tidak lengkap menyebabkan pemulihan lambat.
"Kerajaan negeri akan memastikan tindakan segera diambil bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan elektrik dan air secepat mungkin,” jelas beliau.