Masa untuk 'digital detox' keluarga anda

Iklan
Percutian keluarga turut membuka ruang pembelajaran tidak formal kepada anak-anak. Foto hiasan

TAHUN 2025 bakal melabuhkan tirainya, menandakan berakhirnya satu lagi kitaran kehidupan penuh cabaran dan pencapaian.

Menjelang hujung tahun, cuti sekolah dan cuti umum menjadi detik paling dinanti keluarga di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Namun, cuti bukan sekadar masa untuk berehat, ia adalah ruang untuk memulihkan kesejahteraan diri, memperkukuh ikatan keluarga, dan menstruktur semula keseimbangan hidup yang sering terabai dalam rutin harian yang sibuk.

Dalam masyarakat moden, teknologi dan tekanan kerja menyebabkan masa bersama keluarga semakin terhad.

Iklan

Justeru, cuti akhir tahun bukan sekadar penanda tamatnya tahun, tetapi keperluan sosial dan psikologi penting untuk mengembalikan kasih sayang, perhatian, dan kebersamaan dalam keluarga.

Mengukuhkan ikatan keluarga melalui masa berkualiti

Iklan

Cuti hujung tahun memberi peluang untuk memperlahankan rentak kehidupan dan menumpukan perhatian kepada hubungan manusiawi.

Aktiviti sederhana seperti memasak bersama, berkhemah atau berbual santai di alam semula jadi terbukti mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak.

Kajian American Psychological Association (APA) menunjukkan interaksi bermakna antara ibu bapa dan anak bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan emosi, malah memperkukuh keyakinan diri dan kesihatan mental anak.

Penyelidikan Noor Azizan et al. (2024) pula menegaskan bahawa hubungan kekeluargaan rapat mampu mengurangkan stres, menggalakkan komunikasi terbuka, serta menguatkan kesejahteraan psikologi keluarga di Malaysia.

Cuti intervensi kesihatan mental

Dari perspektif psikologi, cuti berfungsi sebagai intervensi berkesan terhadap keletihan mental. Tekanan kerja dan akademik tanpa rehat boleh menyebabkan 'burnout' emosi.

Cuti memberikan ruang untuk menyusun semula kapasiti mental, membolehkan minda kembali segar dan stabil. Aktiviti santai seperti berada di kawasan hijau, mendengar bunyi alam atau berehat merangsang hormon endorfin, mengurangkan stres, dan meningkatkan keselesaan emosi.

Laporan oleh World Health Organization (WHO, 2023), menekankan rehat berkala termasuk percutian singkat sebagai faktor perlindungan terhadap tekanan kronik, sementara kajian Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM – 2022) menyatakan di Malaysia menunjukkan mereka yang meluangkan masa berkualiti semasa cuti melaporkan stres lebih rendah dan kepuasan hidup lebih tinggi.

Pendidikan tidak formal dan pembentukan karakter

Percutian keluarga turut membuka ruang pembelajaran tidak formal kepada anak-anak.

Melawat muzium, meneroka warisan budaya atau bermain permainan tradisional memperkayakan pengalaman mereka, memupuk rasa cinta negara, dan membentuk identiti nasional.

Dalam konteks psikososial, cuti juga memberi peluang anak-anak mempraktik kemahiran hidup seperti berdikari, membuat keputusan, menghormati masa, dan bertolak ansur.

Aktiviti 'digital detox' semasa bercuti membantu menangani cabaran era digital serta mengukuhkan komunikasi keluarga.

Mengukuhkan tradisi dan keberkatan keluarga

Cuti akhir tahun membolehkan pembentukan tradisi keluarga seperti makan besar, melancong, atau ziarah keluarga.

Tradisi ini menghasilkan memori kolektif yang mendalam, menjadi sumber ketenangan dan sokongan emosi.

Islam sendiri menekankan pentingnya hubungan kekeluargaan. Hadis riwayat al-Bukhari menyebut: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah silaturahim.”

Maka cuti hujung tahun peluang besar untuk menyambung silaturahim yang mungkin terabai selama ini.

Kesimpulan

Cuti akhir tahun bukan sekadar masa berehat, tetapi pelaburan emosi yang memperkukuh institusi keluarga, memulihkan tenaga mental, dan mencipta memori bermakna.

Dalam dunia yang semakin kompleks, keluarga adalah benteng kasih sayang dan harapan. Menjelang tahun baharu, manfaatkan cuti untuk kembali kepada keluarga kerana di sanalah tersimpan kebahagiaan dan ketenangan sebenar.

*Dr Yasmin Yaccob merupakan Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan dan Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak