Rapatkan jurang ideal dan realiti

Iklan
Proses pembinaan negara bangsa tidak pernah selesai kerana ia kesinambungan merentasi generasi. - Gambar hiasan

BUMI Malaysia tidak pernah dibina atas asas keseragaman. Sejak awal pembentukan negara, kita hidup dalam kepelbagaian etnik, budaya dan agama, namun dalam masa sama kita tetap berkongsi tanah air yang sama. Keamanan dan kestabilan hampir tujuh dekad ini dapat dikekalkan bukan dengan cara menghapuskan perbezaan dalam kepelbagaian, tetapi bagaimana diurus dengan adab, hikmah dan keadilan.

Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil pernah menegaskan, hidup dalam kepelbagaian adalah amanah sejarah. Kepelbagaian bukan sekadar fakta sosiologi, tetapi ujian kematangan bangsa. Ia hanya menjadi rahmat apabila diurus dengan adab. Tanpa adab, perbezaan mudah bertukar menjadi permusuhan.

Iklan
Iklan

Dalam konteks negara bangsa, proses pembinaan ini tidak pernah selesai kerana ia kesinambungan merentasi generasi. Setiap zaman hadir dengan cabaran tersendiri yang perlu dilihat dalam kerangka lebih besar, adakah tindakan dan reaksi kita mengukuhkan atau melemahkan pembinaan?

Polemik pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang kembali hangat ketika lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, contoh ujian kematangan tersebut. Kedua-dua pihak sebenarnya mengangkat prinsip sama, mahu mendaulatkan undang-undang. Namun persoalan yang wajar ditanya ialah mengapa isu ini dihangatkan seolah-olah eksklusif kepada kuil semata-mata?

Iklan

Hakikatnya, isu pokok bukan soal rumah ibadat 'halal' atau 'haram', tetapi persoalan pentadbiran tanah dan kebenaran pembinaan sama ada di tanah kerajaan atau persendirian yang turut melibatkan rumah setinggan, gerai dan pembinaan tanpa kelulusan di banyak tempat. Bezanya hanyalah bagaimana isu itu dibingkai dan diurus.

Apabila isu teknikal ditarik ke gelanggang sentimen identiti, maka ia mudah meletup. Di sinilah kebijaksanaan diuji termasuk dari segi penguatkuasaan, nada dan pendekatan.

Iklan

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perpaduan bukan sesuatu yang boleh dikompromi, ia prasyarat kestabilan. Perlu diingatkan sejarah panjang pengaruh luar di Tanah Melayu yang membentuk kehidupan seharian, adat resam dan identiti budaya sehingga hari ini. Mengiktiraf hakikat ini bukan kelemahan, tetapi sebahagian kebijaksanaan mengurus kepelbagaian.

Namun, di sinilah juga muncul cabaran apabila terdapat pihak merasakan satu kewajipan agama dan bangsa mengangkat isu ini secara terbuka dan emosional. Ia mudah mengheret perbincangan keluar daripada landasan hikmah. Peringatan penyair dan pemikir Barat, T S Eliot, dalam puisinya The Hollow Men terasa amat relevan dalam konteks hari ini: “Between the idea and the reality falls the shadow.” Antara ideal dan realiti, jatuh bayang-bayang. Di ruang inilah salah faham, manipulasi dan emosi berlebihan mudah berakar.

'Bayang-bayang' itu boleh dirapatkan jika isu ini dibingkai sebagai soal hormat kepada undang-undang, keselamatan awam dan kepelbagaian, bukan konflik agama atau pertembungan identiti. Tiga tahun kebelakangan ini, termasuk Februari menyaksikan perayaan besar masyarakat Melayu, Cina dan India, diraikan kebersamaan tanpa insiden tidak diingini. Ini bukti keharmonian bukan retorik kosong, tetapi realiti yang boleh dicapai jika dipelihara bersama.

Dalam dunia yang menyaksikan kebangkitan faham fasisme dan ultra-nasionalisme, kestabilan Malaysia satu kurniaan yang wajar disyukuri. Banyak negara runtuh bukan kerana kekurangan sumber, tetapi kegagalan mengurus kepelbagaian dengan adab, kebijaksanaan dan hikmah.

Kerajaan Madani menawarkan sesuatu yang jarang dihargai sehingga hilang iaitu kestabilan. Ketegasan dalam prinsip, namun berhikmah dalam pendekatan.

Akhirnya, hidup dalam kepelbagaian bukan pilihan, tetapi takdir sejarah Malaysia. Bagaimana kita menguruskannya adalah pilihan moral kita.

Jika kita memilih adab daripada amarah, dialog daripada konfrontasi dan hikmah daripada retorik, maka jurang antara ideal dan realiti mampu dirapatkan.

Dalam perjalanan panjang membina negara bangsa, kepelbagaian bukan ancaman, tetapi kekuatan, selagi dipandu keadilan, hormat dan kebijaksanaan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya