MALAYSIA merupakan sebuah negara majmuk yang dibina atas kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya.
Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan strategik sebagai tapak pembentukan identiti nasional, integrasi sosial dan pembangunan modal insan.
Sistem pendidikan tinggi bukan sahaja berfungsi sebagai medium penyampaian ilmu, malah sebagai wahana untuk memupuk nilai perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara budaya.
Sejajar dengan aspirasi nasional, Malaysia berhasrat mewujudkan ekosistem pendidikan yang bukan sahaja menerima kepelbagaian, tetapi turut mengharmonikan perbezaan sebagai kekuatan kolektif.
Menjelang tahun 2026, Malaysia menetapkan sasaran agar komposisi etnik pelajar di IPT mencerminkan struktur populasi nasional.
Usaha ini disokong oleh pembangunan metodologi baharu bagi menilai tahap perpaduan secara sistematik dan berkala. Indeks Patriotisme dan Perpaduan Negara (iPPN), misalnya, merekodkan skor penilaian kendiri yang tinggi iaitu sekitar 90 peratus dalam kalangan pelajar IPT.
Dapatan ini menunjukkan wujudnya tahap kesedaran dan penerimaan yang baik terhadap nilai perpaduan, namun ia juga menuntut pendekatan yang lebih mendalam dan berterusan bagi memastikan perpaduan tersebut bersifat lestari dan bermakna, bukan sekadar simbolik.
Dari sudut kajian lepas, sarjana seperti Banks (2015) melalui teori Pendidikan Multikultural menegaskan bahawa kepelbagaian dalam pendidikan perlu diurus secara inklusif melalui kurikulum, pedagogi dan budaya institusi.
Pendidikan yang benar-benar inklusif bukan sahaja memberi ruang kepada representasi pelbagai kumpulan, tetapi turut menggalakkan interaksi bermakna dan pembelajaran merentas budaya.
Di peringkat tempatan, kajian oleh Shamsul Amri Baharuddin (2012) menunjukkan bahawa perpaduan di Malaysia perlu difahami sebagai satu proses sosial yang dinamik, dipengaruhi oleh sejarah, struktur kuasa dan pengalaman harian masyarakat.
Oleh itu, IPT perlu bertindak sebagai ruang selamat (safe space) untuk dialog, refleksi dan pembinaan kefahaman bersama.
Kerangka teori Modal Sosial oleh Putnam (2000) juga relevan dalam membincangkan perpaduan di IPT. Teori ini menekankan kepentingan jaringan sosial, kepercayaan dan norma bersama dalam memperkukuh kerjasama sosial.
Dalam konteks kampus, aktiviti kokurikulum, pembelajaran berasaskan projek dan program khidmat komuniti berbilang kaum mampu meningkatkan modal sosial penghubung (bridging social capital), sekali gus merapatkan jurang antara kumpulan etnik dan latar belakang sosioekonomi yang berbeza.
Selain itu, pendekatan pembangunan insan holistik di institusi pengajian tinggi perlu merangkumi dimensi kesejahteraan mental dan emosi warga kampus, selaras dengan tuntutan cabaran semasa generasi muda.
Pendekatan ini bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah membentuk keseimbangan antara intelek, emosi dan nilai kemanusiaan.
Usaha tersebut sejajar dengan pelaksanaan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani: Program Satelit Komuniti Rakyat Madani anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Perak, yang bertujuan menyemai semangat kenegaraan, perpaduan dan tanggungjawab sivik dalam kalangan bakal pemimpin masa depan negara.
Seiring dengan aspirasi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai langkah reformasi pendidikan menyeluruh untuk membina generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Pembangunan modal insan negara merangkumi seluruh peringkat daripada prasekolah, sekolah sehingga pendidikan tinggi.
Pelan pendidikan baharu ini turut mencerminkan komitmen kerajaan melalui penglibatan dua kementerian utama, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dalam memastikan kesinambungan dan kesepaduan dasar pendidikan negara.
Dalam Bicara Ilmu Siri 1/2026 di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur menekankan konsep keseimbangan kehidupan (work-life balance) melalui pembahagian peranan kehidupan atau kompartmen kehidupan (life compartments) yang merangkumi keluarga, kerjaya, ilmu pengetahuan dan hobi.
Dalam memperkukuh perpaduan sebagai satu ekosistem menyeluruh, pendidikan tidak seharusnya terhad kepada golongan muda sahaja. Warga emas juga merupakan aset sosial dan intelektual yang penting.
Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) berperanan sebagai platform pendampingan sosial dan pembangunan komuniti melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berdasarkan teori Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diketengahkan oleh UNESCO, pembelajaran sepanjang hayat merangkumi semua peringkat umur dan bertujuan meningkatkan kualiti hidup, penyertaan sosial dan kesejahteraan individu.
Cadangan daripada Bicara Ilmu untuk menjenamakan semula Pusat Warga Emas kepada istilah yang lebih positif seperti Laman Sejahtera mencerminkan anjakan paradigma terhadap penuaan aktif dan bermaruah.
Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan istilah, tetapi membawa implikasi psikososial yang mampu meningkatkan rasa harga diri, keterangkuman dan motivasi warga emas untuk terus menyumbang kepada komuniti.
Kajian lepas menunjukkan bahawa penglibatan warga emas dalam aktiviti pembelajaran dan komuniti dapat mengurangkan pengasingan sosial serta meningkatkan kesejahteraan mental.
Pandangan ini menjadi semakin signifikan dalam era pasca-Covid-19 apabila isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik semakin ketara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menekankan keperluan menangani cabaran kesihatan mental, keganasan domestik dan ketidaksamaan gender sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial.
Secara keseluruhannya, satu strategi transformatif yang bersepadu amat diperlukan bagi memperkukuh sistem pendidikan tinggi Malaysia dalam menghadapi era gangguan dan perubahan pesat.
Strategi ini perlu menggabungkan kepelbagaian, perpaduan, kesejahteraan mental dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras utama.
Melalui akses saksama kepada pendidikan berkualiti, keupayaan menangani cabaran global serta laluan pendidikan yang fleksibel merentas usia, Malaysia berpotensi melahirkan masyarakat berilmu, inklusif dan berdaya tahan.
Kejayaan visi ini menuntut komitmen kolektif semua pihak berkepentingan agar institusi pendidikan dan komuniti terus maju dalam landskap global yang sentiasa berubah.
* Profesor Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw ialah pensyarah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felo Akademi Kenegaraan Malaysia.