BM jadi bahasa caci maki?

Iklan
Tinjauan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini mengesan siaran langsung persidangan Parlimen dalam bulan Julai dan Ogos 2025 terdapat 30,000 komentar langsung dengan 20 peratus daripada komentar itu menyerang, memberikan maklumat palsu dan berbaur perkauman.

SEMUA bahasa utama di dunia hari ini - termasuk bahasa Melayu (BM) - sedang melalui evolusi dan transformasi menakjubkan akibat media sosial. Pengguna bahasa di Internet mencampur-adukkan bahasa formal dengan yang tidak, bahasa rasmi dengan slanga selain mengacaubilaukan tatabahasa, nahu dan struktur.

Di dunia maya ‘bahasa rojak’ berleluasa. Malah telah wujud linguistic centaur. Centaur adalah makhluk daripada mitologi Greek yang separuh manusia separuh haiwan. Pada waktu yang sama berlaku situasi ‘the Wild West dalam kebahasaan’ – hukum hakam koboi, apa sahaja boleh.

Iklan
Iklan

Mari kita melihat lebih jauh daripada itu. Nampaknya bukan bentuk sahaja yang berubah tetapi kandungan dan fungsi bahasa itu sendiri. Di alam maya BM telah jatuh darjatnya menjadi bahasa caci maki dan sumpah seranah.

Bahasa Melayu yang kaya dengan keindahannya hari ini menjadi alat untuk menghina, mengecam, memfitnah dan memaki hamun. Adab, sopan dan rasa hormat hilang dek kebencian dan kemarahan.

Iklan

Bagi saya, bahasa – apa bahasa sekalipun – adalah manifestasi sebenar sesuatu bangsa. Bahasa adalah cerminan daripada warisan keilmuan, kesarjanaan dan kebudayaan yang panjang bagi bangsa yang menggunakannya.

Pendeta Za’ba menggunakan ungkapan Asuhan Budi dan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri untuk menggambarkan betapa rapatnya nilai dan pandangan dunia orang Melayu tentang budaya dan bahasanya.

Iklan

Juga tentang kemampuan ilmu, taraf hidup dan kedudukan ekonomi kaum itu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz melihat kebijaksanaan akal budi orang Melayu pada bahasa yang mereka warisi. Ini termasuklah pantun yang merupakan salah satu warisan terindah dalam tradisi kepengarangan Melayu zaman berzaman.

‘Bahasa jiwa bangsa’. Alangkah indahnya ungkapan itu. Maka banyaklah tafsiran tentang ungkapan bermakna ini. Bagi saya ungkapan ini membawa maksud bahasa menggambarkan nilai dan citra bangsa. Bahasa menampilkan akal budi bangsa. Juga adab dan kesopanan bangsa.

Orang Melayu selalu dikaitkan dengan budi bahasa, sopan santun, keramahan, rasa pengasih, suka membantu, pemurah dan berbaik sangka. Terlalu banyak ungkapan lama – baik melalui pantun, syair, gurindam serta peribahasa, simpulan bahasa, perbidalan, serta senikata lagu-lagu kanak-kanak dan orang dewasa turun temurun yang mengarah ke situ. Tenas Effendy dalam bukunya Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu memasukkan bait ini:

Tuah ayam pada sisiknya

Tuah manusia pada baiknya

Tuah kain pada tenunnya

Tuah kayu pada eloknya buahnya

Tuah Melayu pada maruahnya.

‘Maruah’ adalah kata yang amat besar pengertiannya dalam BM. Kamus Dewan memberikan makna kehormatan dan harga diri. Maka bahasa memainkan peranan memancarkan gagasan itu. Bahasa juga memancarkan maruah Melayu yang sebenar.

Seorang teman membuat postingnya dalam Facebook (FB) menggunakan BM dan bahasa Inggeris (BI). Adakalanya (malah selalunya) beliau kritikal. Saya percaya beliau tidak ada niat buruk atau memendam sebarang rasa dendam terhadap sesiapa, khususnya pemimpin politik. Beliau membuat teguran terhadap pemerintah, dulu, kini dan mungkin selamanya.

Beliau mengakui bahawa reaksi terhadap posting dalam BM lebih banyak. Tetapi satu hal amat ketara. Walaupun banyak yang bersetuju dengannya atau yang berkecuali, banyak juga yang tidak bersetuju.

Tetapi reaksi negatif dalam BM tidak sekadar menunjukkan pandangan berbeza, lebih 80 peratus menggunakan bahasa yang kesat, menghina, memaki hamun dan mencaci. Beliau sudah terbiasa reaksi yang menggunakan kata-kata yang amat keras dan tidak wajar.

Hal yang berbeza berlaku pada reaksi dalam BI. Ada yang marah dan bernada mengecam. Tetapi selalunya tidak menggunakan bahasa kesat dan caci maki. Malah bagaimanapun marahnya orang yang membuat komentar, tetap menggunakan bahasa yang nahu dan ejaan terkawal.

Saya dimaklumkan daripada beberapa pemantauan yang dibuat, bahawa bahasa kesat, caci maki dan penghinaan dalam media sosial bukanlah sesuatu yang aneh, malah menjadi norma. Ada yang menyebutkan ‘mentaliti kerengga’ dalam media sosial. Apabila seorang menyerang, maka yang lain, adakalanya tanpa mengetahui duduk perkara sebenar, turut menyerang, macam sekawan kerengga.

Satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini sepatutnya membuka mata kita semua. Selama beberapa waktu akhbar ini mengesan siaran langsung persidangan Parlimen yang berjalan (livestreams).

Daripada enam hari sidang itu (dalam bulan Julai dan Ogos 2025), terdapat 30,000 komentar langsung. Sebanyak 20 peratus daripada komentar itu dikuasai oleh online agitators yang menyerang, memberikan maklumat palsu dan berbaur perkauman.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa terdapat 12 akaun media sosial yang bekerja sepenuh masa selama sidang untuk tujuan itu. Kita tentu boleh mengagak apakah tujuan sebenar wujud akaun-akaun seperti ini. Sebahagian besarnya dalam BM.

Pada pendapat saya hal ini melampaui sekadar soal kebebasan bersuara. Tiada siapa yang mempersoalkan hak itu. Siapa sahaja boleh memberikan pandangan tetapi kebebasan bersuara bukan lesen untuk menggunakan bahasa yang kesat dan memalukan.

Ada yang menyamakan pengguna media sosial dengan pemandu di jalan raya. Banyak pemandu kita sebenarnya orang yang tertib, berhemah dan berbudi bahasa apabila di rumah dan di pejabat. Tetapi apabila berada di belakang steering mereka menjadi monster. Begitu juga agaknya sebahagian pengguna media sosial, mereka orang yang tertib, berhemah dan berbudi bahasa di rumah dan di tepat kerja tetapi menjadi monster di alam maya.

Atau mungkinkah juga bangsa di sebalik BM yang indah itu turut berubah? Atau mungkin juga akal budi dan kesopanan yang mencorakkan jati diri dan keperibadian orang Melayu itu sendiri sedang melalui perubahan drastik. Maka korbannya adalah bahasa.

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau telah menghasilkan buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad.