Kurang pendedahan punca koperasi belia masih rendah - SKM

Iklan
Ahmad Norihan (dua dari kiri) meninjau Laman Tunas Coop City pada Khamis.

GEORGE TOWN – Kurang pendedahan, promosi yang tidak menyeluruh serta kekeliruan belia dalam menentukan hala tuju hidup merupakan antara punca utama penglibatan golongan muda dalam koperasi masih berada pada tahap rendah ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, hanya 207 koperasi belia direkodkan di seluruh negara dengan keanggotaan kira-kita 87,000 orang, jauh ketinggalan berbanding jumlah keseluruhan 16,284 koperasi di Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu membuktikan keperluan mendesak untuk memperkasa belia kerana golongan tersebut bukan sekadar pelengkap sebaliknya merupakan masa hadapan gerakan koperasi negara.

“Belia kita ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang telah mencapai tahap sosioekonomi yang baik, tetapi ada juga yang kurang bernasib baik.

Iklan

"Di sinilah peranan koperasi untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Laman Tunas Coop City di Koperasi Tunas Muda Berhad di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, Datuk Suhaimi Abdul Jalil.

Iklan

Ahmad Norihan berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) namun SKM melihat koperasi sebagai satu lagi platform penting untuk membangunkan belia yang masih belum ke hadapan dari segi sosioekonomi.

“Belia ini bukan hanya pelengkap kepada koperasi. Mereka adalah masa hadapan koperasi.

"Sebab itu kita mulakan pendedahan sejak awal melalui koperasi di sekolah, kolej vokasional dan universiti,” ujarnya.

Mengulas sasaran penubuhan koperasi belia, beliau menjelaskan SKM tidak hanya menekankan peningkatan jumlah semata-mata sebaliknya memberi keutamaan kepada aspek kualiti dan tadbir urus.

“Sasaran daripada segi angka itu subjektif. Dalam KPI saya, saya mahukan koperasi yang berkualiti.

"Ini selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kita memerlukan banyak koperasi, tetapi dengan kawalan yang ketat,” jelasnya.

Menurut beliau, SKM yang memikul tanggungjawab dalam aspek tatakelola dan pembangunan menyasarkan sehingga 400 koperasi belia berkualiti dapat diwujudkan menjelang 2026.

“Kita mahu koperasi yang benar-benar terbaik untuk belia, demi kesejahteraan mereka sendiri,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih ramai belia menyertai koperasi, SKM turut melaksanakan pelbagai strategi termasuk memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, agensi serta pertubuhan belia.

“Di Pulau Pinang, kita sentiasa berhubung dengan Exco kerajaan negeri selain pegawai SKM di peringkat negeri dan daerah.

"Pada masa sama, kita bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan antaranya Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Felda bagi memastikan usaha mempromosikan koperasi dalam kalangan belia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ini bukan usaha SKM sahaja di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Semua kementerian dan agensi perlu kita satukan supaya koperasi kembali menjadi arus perdana, khususnya dalam kalangan belia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Norihan berkata, sebanyak 16,284 koperasi yang berdaftar di seluruh negara dan 60 hingga 65 peratus masih aktif serta terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi serta penjanaan aset.

Menurutnya, SKM tidak hanya melihat kepada angka pendaftaran semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada tahap keaktifan dan kualiti pengurusan koperasi.

"Sebelum ini jumlah koperasi yang direkodkan mencecah kira-kira 17,600 buah namun satu penilaian semula telah dilaksanakan bagi mengenal pasti koperasi yang tidak aktif atau dorman.

“Penilaian ini dibuat bagi membezakan koperasi yang benar-benar berfungsi dengan yang sekadar wujud atas kertas tetapi ia bukan bertujuan untuk menamatkan pendaftaran koperasi secara besar-besaran,” katanya.

Beliau berkata, jumlah aset koperasi di Malaysia kini melebihi RM173.4 juta setakat 2024 manakala perolehan tahun lepas dianggarkan RM68 juta sekali gus membuktikan potensi besar koperasi sebagai antara enjin ekonomi negara.