ARAU – Empat Exco Perlis yang baru dilantik pada Khamis diharapkan mampu memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun bilangan mereka kecil.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, beliau yakin dengan kemampuan mereka untuk bersama-sama membantu menguruskan pentadbiran negeri ini.
Menurutnya, semua portfolio Exco telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk diperkenankan dan baginda telah memberikan perkenan terhadap cadangan berkenaan.
“Alhamdulillah, semua cadangan telah diperkenankan. Saya berharap empat Exco yang dilantik ini dapat berganding bahu bersama-sama saya bagi meneruskan cabaran pentadbiran negeri,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Exco Negeri Perlis di Istana Arau di sini.
Terdahulu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Exco Perlis di hadapan Tuanku Raja Perlis.
Empat ADUN yang dilantik ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Marzita Mansor (Sena), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).
Abu Bakar berkata, walaupun setiap Exco memegang antara empat hingga enam portfolio, perkara itu bukan penghalang untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan berkesan.
Jelasnya, pelantikan dibuat berdasarkan kesesuaian portfolio dengan tugasan serta pengalaman masing-masing bagi memastikan setiap amanah dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Ini memang satu cabaran, namun saya yakin mereka telah bersedia dalam apa juga keadaan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerja demi kemajuan Perlis dan kesejahteraan rakyat, tanpa menjadikan kekangan sebagai alasan untuk gagal melaksanakan tanggungjawab.
“Apa yang termampu akan kita lakukan, yang penting, kita terus bekerja dan memastikan Perlis terus maju setanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.