'Had tempoh PM angkat budaya politik baharu, perkukuh amalan demokrasi' - Ketua AMK

Iklan
Muhammad Kamil (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera Madani di sebuah pasar raya di Klebang pada Rabu.

IPOH – Cadangan menetapkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengangkat budaya politik baharu serta memperkukuh amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan yang diumumkan kerajaan itu selari dengan pendirian dan manifesto parti sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengehadan kepada dua penggal perkhidmatan Perdana Menteri bukan idea baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada agenda reformasi politik yang diperjuangkan.

"Kita sambut baik pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kerana ia konsisten dengan manifesto sejak 1999, termasuk semasa Barisan Alternatif dan pilihan raya-pilihan raya seterusnya.

Iklan

"Jika dilaksanakan, Malaysia mungkin menjadi negara pertama dalam sistem Westminster yang mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera Madani di sebuah pasar raya di Klebang di sini pada Rabu.

Iklan

Muhammad Kamil berkata, walaupun pengehadan penggal itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dan ia tidak seharusnya menghalang usaha untuk meneroka pendekatan pembaharuan politik.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu lagi, langkah berkenaan boleh menjadi satu presiden baharu dalam sistem demokrasi negara.

Mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa seseorang Perdana Menteri menunjukkan prestasi cemerlang boleh terus memimpin negara melebihi 10 tahun, beliau berkata, perkara itu boleh ditangani melalui penyusunan peranan kepimpinan yang lebih pelbagai.

“Sekiranya seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi boleh berkhidmat lebih lama, masih ada peranan dan fungsi lain yang boleh difikirkan demi kepentingan negara, tertakluk kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita mengurus kepimpinan,” katanya.

Beliau menegaskan, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang merugikan, sebaliknya satu idea segar yang wajar disokong bersama demi memperkukuh sistem tadbir urus negara.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan tidak salah untuk membenarkan tempoh jawatan Perdana Menteri melebihi 10 tahun sekiranya pemimpin nombor satu negara itu mempamerkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Menurut wakil rakyat daripada Bersatu itu, pemimpin perlu dinilai berdasarkan keupayaan mentadbir negara, bukan berapa lama memegang tampuk kepimpinan.