Gelombang kedua banjir: JPS sedia tujuh pam elak UMK Kampus Kota ‘lumpuh’

Iklan
Arham (dua dari kanan) dan Ahmad Jazlan (dua dari kiri) semasa penyampaian sijil penghargaan pada Program Kampung Angkat Madani di bawah UMK yang diadakan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang pada Ahad.

MACHANG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan tujuh pam termasuk tambahan pam diesel bagi mengelakkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa berdepan situasi ‘lumpuh’ sekali lagi susulan jangkaan banjir gelombang kedua bermula Ahad hingga Rabu ini.

Naib Canselor UMK, Datuk Dr Arham Abdullah berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga khususnya melibatkan kawasan berisiko seperti Taman Bendahara yang sering terkesan banjir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini lima pam elektrik dan dua pam diesel disediakan dengan satu pam diesel tambahan diletakkan bagi memastikan kelancaran proses pengepaman air jika berlaku hujan lebat serta takungan air.

“Pam-pam ini berfungsi secara automatik apabila hujan lebat dan air bertakung. Kita juga akan melakukan pemantauan berterusan bersama agensi berkaitan,” katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu, beliau hadir pada Program Kampung Angkat Madani di bawah UMK yang dirasmikan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini.

Beliau berkata, UMK turut mengaktifkan bilik gerakan banjir sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan situasi buruk jika berlaku banjir sepanjang tempoh tersebut.

Iklan

Jelasnya, pihak universiti juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) termasuk kemungkinan penutupan bekalan elektrik dan pemindahan pelajar sekiranya keadaan banjir menjadi serius serta berisiko.

“Kami sudah bersedia menghadapi musim tengkujuh ini dan ibu bapa tidak perlu risau kerana keselamatan serta kebajikan pelajar menjadi keutamaan kami,” katanya.

Tambah beliau, UMK akan terus bekerjasama dengan JPS dan agensi berkaitan bagi memastikan kampus beroperasi dengan selamat serta tidak terjejas teruk sekiranya banjir gelombang kedua melanda kawasan tersebut.