MACHANG - Satu sesi pembentangan khas akan diadakan pada Januari ini bagi memberi penjelasan terperinci berhubung isu pajakan dan pembelian ladang sawit di Sabah dan Kelantan yang bernilai RM241.76 juta.
Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah itu diambil bagi menjawab segala persoalan serta keraguan yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara kebelakangan ini.
Menurutnya, beliau sendiri telah dipanggil untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 27 Oktober lalu dan berpendapat jawatankuasa berkenaan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
“Bagi menghilangkan sebarang keraguan ahli Parlimen, saya telah mengarahkan pihak FELCRA menyediakan satu pembentangan khusus pada Januari ini.
“Saya akan menghantar surat rasmi dan menjemput ahli-ahli Parlimen yang membahaskan serta membangkitkan perkara ini di Parlimen. Saya tahu siapa mereka dan terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak, tetapi jemputan rasmi akan dibuat,” katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Kampung Angkat Madani di bawah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini.
Ahmad Jazlan memberitahu, pembelian ladang berkenaan adalah sebahagian daripada keputusan penambahan aset yang telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FELCRA pada 2022 bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka masa panjang.
Beliau menjelaskan, kali terakhir FELCRA membuat peralihan atau pembelian ladang adalah sekitar 2012 dan 2013, sebelum transformasi baharu dipersetujui dengan sasaran penambahan sehingga 50,000 hektar ladang.
“Kami sedar kekangan kewangan, namun setiap perolehan yang dibuat tidak melibatkan sebarang pinjaman sama ada daripada bank atau kerajaan.
“Ia menggunakan sumber dalaman serta perbelanjaan modal hasil keuntungan kewangan FELCRA,” katanya.
Menurut beliau, terdapat tanggapan pihak tertentu bahawa FELCRA membuat pinjaman bank atau kerajaan bagi pembelian ladang, namun dakwaan itu tidak benar kerana semua urus niaga dibuat berdasarkan harga di bawah penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Katanya, pelaburan tersebut bersifat jangka sederhana dan panjang, bukan untuk keuntungan jangka pendek, selain ladang yang dibeli memerlukan proses pemulihan terlebih dahulu.
“Kita sebenarnya boleh membeli ladang yang memberi keuntungan segera, tetapi harganya jauh lebih mahal,” jelas beliau.
Ahmad Jazlan turut menegaskan kesediaannya untuk bersemuka dan memberi penjelasan secara terbuka, termasuk menjemput Jabatan Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendengar penjelasan lanjut.
“Jangan buat tuduhan melulu. Saya sambut baik jika SPRM mahu menjalankan siasatan, namun setakat ini pihak SPRM belum menghubungi saya,” katanya.