Bungkusan cantik, tapi di mana jaminan halal?

Iklan
ADA pengusaha mencetak bungkusan dengan logo halal walaupun sijil halal Jakim belum diperoleh dan perbuatan ini salah di sisi undang-undang. Foto Canva/Gambar kecil

Pasaran pembungkusan halal bernilai RM1.4 trilion menjelang 2034, namun isu pemalsuan logo dan ketidakpatuhan standard masih menghantui industri

SEBAGAI umat Islam, kita diperintahkan untuk makan makanan yang halal lagi baik menerusi firman ALLAH SWT: "Wahai manusia, makanlah (makanan) di bumi yang halal lagi baik." (Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini jelas menuntut umat Islam bukan sahaja memastikan makanan halal dari segi zatnya, tetapi juga dari aspek pembungkusan, pelabelan dan keseluruhan rantaian bekalan.

Iklan
Iklan

Oleh sebab itu wujud konsep halalan tayyiba iaitu merangkumi seluruh proses dari ladang hingga ke meja makan.

Pembungkusan halal bukan sekadar estetika

Iklan

Standard Malaysia MS 2565:2014 menggariskan panduan komprehensif untuk pembungkusan halal yang merangkumi beberapa syarat penting iaitu:

1 - Tidak boleh mengandungi sebarang bahagian atau produk haiwan yang tidak halal menurut hukum syarak.

Iklan

2 - Tidak boleh mengandungi bahan yang diperoleh daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

3 - Tidak dicemari dengan bahan najis semasa proses penyediaan, pemprosesan, pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan.

LAPORAN ketidakpatuhan sijil halal banyak berlaku berkaitan isu pembungkusan dan pelabelan. Foto Canva

Pasaran pembungkusan halal global kini bernilai kira-kira AS$290.4 bilion (RM1.4 trilion) pada tahun 2024 dan dijangka mencecah AS$582 bilion (RM2.8 trilion) menjelang 2034 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.2 peratus.

Rantau Asia Pasifik mendominasi pasaran dengan 46 peratus syer, didorong oleh populasi Muslim yang besar di negara seperti Indonesia, Malaysia dan India.

Malaysia menyumbang 8.7 peratus daripada pasaran pembungkusan halal global pada tahun 2023, menjana pendapatan sebanyak AS$23.3 bilion (RM112 bilion).

Ketidakpatuhan pembungkusan, pelabelan

Satu kajian bertajuk 'Non-conformance Report (NCR) on Malaysia Halal Certification' yang diterbitkan dalam jurnal akademik Food Control (2024) mendapati bahawa laporan ketidakpatuhan (NCR) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) makanan di Malaysia banyak berlaku berkaitan isu pembungkusan dan pelabelan.

Antara lima NCR teratas termasuk isu sertu sebanyak 73.5 peratus, pelantikan pegawai eksekutif halal oleh Lembaga Profesional Halal sebanyak 37.8 peratus dan rekod latihan halal sebanyak 21.4 peratus.

Ini menunjukkan bahawa masih wujud jurang yang besar antara keperluan standard halal dengan amalan sebenar di lapangan.

Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggariskan dengan jelas keperluan pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan.

Antara syarat yang ditetapkan termasuk bahan pembungkusan dan pelabelan hendaklah dipastikan halal serta tidak mencemarkan produk dan selamat untuk kegunaan manusia.

Dalam ekosistem pembungkusan halal, pereka grafik memainkan peranan yang sering dipandang remeh namun amat kritikal.

Mereka bukan sekadar 'tukang cantikkan bungkusan', tetapi merupakan penjaga amanah visual yang bertanggungjawab memastikan setiap elemen reka bentuk mematuhi garis panduan syariah.

PEMBUNGKUSAN produk halal bukan soal rupa menarik, bahkan melibatkan aspek syariah yang wajib dipatuhi. Foto Canva

Menurut manual yang sama, pembungkusan dan pelabelan tidak boleh menggunakan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan seperti nama-nama ALLAH, makanan sunnah dan seumpamanya.

Lebih kritikal lagi, sebarang bentuk rajah atau ilustrasi haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah tidak boleh digunakan sama sekali.

Langkah ke hadapan

Bagi mengembalikan keyakinan pengguna Muslim terhadap sistem pembungkusan dan pelabelan halal, beberapa langkah perlu diambil.

1 - Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuhkan. Akta Perihal Dagangan 2011 menetapkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala denda RM500,000 buat syarikat untuk kesalahan berulang. Hukuman ini perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa kompromi.

2 - Kesedaran pengguna perlu dipertingkatkan supaya mereka mampu membezakan logo halal tulen dengan yang palsu. Jakim telah menyediakan Portal Rasmi Halal Malaysia untuk semakan status halal produk.

3 - Pengusaha perlu diberi latihan dan bimbingan berterusan mengenai keperluan pembungkusan halal mengikut MS 2565:2014 dan MS 1500:2019.

4 - Teknologi seperti sistem pengimbasan kod bar bersepadu logik kabur boleh digunakan untuk mengesan bahan tidak halal dalam produk makanan berbungkus dengan lebih pantas dan tepat.