Makanan halal: Hati, minda dan akhlak anak terjaga

Iklan
UMAT Islam percaya makanan halal yang disuap kepada anak akan memberikan keberkatan dalam hidupnya. Foto Canva

PEMILIHAN makanan untuk bayi bukan sekadar untuk keperluan kesihatan, malah ia merupakan amanah kerohanian yang sangat besar dalam Islam.

Apa sahaja makanan yang masuk ke dalam tubuh anak akan menjadi sebahagian daripada darah dagingnya, sekali gus mempengaruhi hati, akhlak dan pembentukan dirinya pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Pendakwah, Ustaz Wan Afiq Afifi W. Azhar Lotfi menjelaskan, Islam bukan sahaja menyeru umatnya untuk beribadah dan menjaga akhlak, tetapi juga menekankan pemilihan sumber pemakanan yang halal dan baik atau halalan toyyiba lebih-lebih lagi untuk bayi yang sedang membesar.

USTAZ WAN AFIQ AFIFI

Iklan

“Sejak dahulu lagi para ulama sering mengingatkan bahawa makanan halal memberi kesan langsung kepada kebersihan hati.

“Bayi yang dibesarkan dengan sumber makanan yang halal, insya-ALLAH membesar dengan jiwa yang tenang, lembut dan mudah menerima kebaikan.

Iklan

Kesan makanan kepada anak

Tambahnya, apa yang disuapkan kepada anak setiap hari memberi kesan terhadap akhlak dan spiritual mereka berdasarkan sumber makanan tersebut.

“Oleh sebab itu, Islam mementingkan makanan halal untuk diambil setiap hari.

Inilah keberkatan yang ALLAH SWT janjikan kepada ibu bapa yang menjaga pemakanan anak-anak mereka, ujarnya.

Menyambung hujahnya, al-Quran dan hadis secara jelas memberi amaran mengenai kesan buruk makanan haram terhadap hati manusia, termasuk bayi.

ALLAH berfirman dalam ayat ke-88 Surah al-Maidah: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan ALLAH kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik.”

ANAK yang makan makanan halal akan tumbuh membesar dengan akhlak yang baik. Foto Canva

“Lebih kuat lagi, ada sepotong hadis sahih riwayat Imam Muslim menceritakan seorang lelaki yang berdoa dalam keadaan penuh kesusahan, tetapi doanya tidak dimakbulkan kerana sumber makanannya adalah haram.

“Baginda SAW menegaskan, bagaimana ALLAH SWT ingin memperkenankan doa seseorang yang dibesarkan dengan sumber yang haram?

“Hadis ini jelas menunjukkan bahawa makanan bukan sekadar mengenyangkan, tetapi mempengaruhi hubungan seseorang dengan ALLAH SWT,” ujarnya.

Jaminan kebersihan, keselamatan

Jelasnya, dalam konteks moden sekarang, produk atau makanan halal yang mempunyai sijil atau logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia bukan sahaja merangkumi aspek syariah, tetapi juga standard keselamatan makanan.

“Ini memberi jaminan bahawa makanan bukan sahaja suci, tetapi benar-benar selamat untuk bayi,” ujarnya.

PENTING untuk memastikan makanan yang halal diberikan kepada anak dalam membentuk peribadinya. Foto Canva

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh itu menasihatkan kepada ibu bapa bahawa halal bukan sekadar logo, bahkan ia penentu kepada keberkatan rezeki anak, kesucian hati dan jiwa, pembentukan akhlak dan peribadi serta masa depan spritual mereka.

“Bayi merupakan amanah ALLAH. Maka setiap suapan makanan yang halal adalah sebahagian daripada tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan mereka membesar sebagai insan yang baik, lembut hati dan dekat dengan-NYA,” jelasnya.