JENAMA kecantikan dan kesihatan terkemuka Asia Tenggara, Kinohimitsu meraikan komitmen halal produk mereka selama lebih dua dekad melalui Majlis Penghargaan Khas bagi Kecemerlangan Halal di Putrajaya baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi Kino Biotech (M) Sdn Bhd, Jennifer Chin berkata, majlis tersebut mengiktiraf peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mereka memperkukuh keyakinan global terhadap pensijilan halal Malaysia.
Dalam majlis sama, Watsons Malaysia turut diraikan sebagai rakan runcit utama yang membantu memperluas akses pengguna terhadap produk kecantikan dan kesihatan halal Kinohimitsu.
Ujarnya, dengan lebih 750 cawangan, Watsons Malaysia sebagai pengedar utama telah menjadi rakan runcit yang dipercayai oleh Kinohimitsu selama 25 tahun.
“Kedua-dua pihak telah memainkan peranan penting dalam memastikan produk halal lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh dan Presiden Wawasanita Malaysia, Dr Norli Alias.
Jennifer menegaskan halal akan terus menjadi teras dalam pengembangan jenama itu ke seluruh Asia Tenggara sebagai simbol kepercayaan dan keprihatinan selain memastikan setiap formulasinya mencerminkan dedikasi terhadap keselamatan, ketulenan dan keyakinan pengguna Muslim.
Majlis penghargaan tersebut dianjurkan bersama Wawasanita Malaysia, sebuah NGO yang menyokong lebih 14,000 usahawan wanita dan mereka juga menyatakan komitmen bersama dalam memperkasa keyakinan diri serta kesejahteraan wanita melalui produk halal yang inovatif.