'Umur 58 tahun baru dapat kad pengenalan'

Iklan
Shaharuddin dari Kampung Keting, Gunong di Bachok menunjukkan kad pengenalan yang dinantikan sejak 45 tahun itu. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

BACHOK -"Umur 58 tahun baru dapat kad pengenalan."

Demikian kata pesawah, Shaharuddin Basir dari Kampung Keting, Gunong di sini yang melahirkan rasa syukur selepas lima kali usahanya membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) akhirnya berhasil.

Iklan
Iklan

Menurut bapa kepada 10 orang anak itu, semasa berusia 12 tahun dia sudah membuat permohonan namun gagal sekali gus perlu menunggu selama 45 tahun untuk memiliki kad pengenalan.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menikmati segala kemudahan, bantuan subsidi diberikan oleh kerajaan selama ini gagal diperolehi kerana ketiadaan MyKad.

Iklan

Shaharuddin (kiri) menerima penyerahakan kad pengenalan yang disampaikan oleh Badrul Hisham di rumahnya di Kampung Keting, Gunong, Bachok pada Jumaat.FOTO: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

"Termasuk membuat lesen memandu, menebus simpanan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan insya-ALLAH akan berpeluag mengundi pada pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di rumahnya pada Jumaat.

Iklan

Hadir menyampaikan kad pengenalan kepada Shaharuddin ialah Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPPN), Datuk Badrul Hisham Alias.

Dia juga ingin membuka akaun bank secepat mungkin bagi memudahkan urusan yang sebelum ini tergendala.

"Terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) serta semua pihak yang telah membantu mempermudahkan urusan ini dan menjadikan ia satu kenyataan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan masalah Shaharuddin itu bermula apabila arwah ibunya yang buta huruf tidak dapat menguruskan pendaftaran kelahiran dengan sempurna, menyebabkan surat beranak asal tidak diletakkan namanya walaupun maklumat ibu bapa lengkap direkodkan.

Dia dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II manakala ibunya, Zawiah Musa berasal dari Kampung Keting, Gunong manakala arwah bapanya, Basir Siku bekas anggota polis dari Negeri Sembilan yang pernah bertugas di Sabah.

Shahruddin terpaksa menggunakan surat beranak untuk urusan perkahwinan dan dia pertama kali memohon untuk mendapatkan kad pengenalan ketika ingin menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada usia 15 tahun dimana diberikan slip khas sementara oleh JPN untuk membolehkan menduduki peperiksaan.

Waktu tersebut juga barulah namanya ‘Shaharuddin Basir’ dimasukkan ke dalam surat beranak baharu dan slip sementara itu dikatakan tidak laku ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana dia membuat permohonan sekali lagi.