Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah sedia lebih 20,000 lot kubur untuk umat Islam

Iklan
Shaikh Harun (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (kiri) menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah di Kuala Terengganu, pada Ahad.

KUALA TERENGGANU – Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah Paya Bunga yang siap dibangunkan semula secara wakaf mampu menampung lebih 20,000 lot kubur sekali gus menjadi antara kemudahan pengebumian moden dan tersusun di pusat bandar raya ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, projek itu merupakan inisiatif penting yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah Paya Bunga merupakan antara projek penting yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat terutamanya umat Islam di negeri ini.

"Tapak perkuburan seluas 5.34 hektar adalah tanah wakaf di bawah hak milik MAIDAM sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Terengganu," katanya pada Majlis Pembukaan Rasmi Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah di sini pada Ahad.

Iklan

Shaikh Harun (tengah) bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Pembukaan Rasmi Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah dan kutipan sumbangan wakaf di Kuala Terengganu, pada Ahad.

Jelas beliau, sebelum 2019, kawasan tanah perkuburan itu dipenuhi semak-samun dan terdapat beberapa buah rumah kediaman yang dibina tanpa kebenaran sehingga kelihatan terbiar di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu.

Iklan

Beliau berkata, MAIDAM bersetuju untuk membangunkan semula kawasan itu dengan penstrukturan baharu berkonsepkan kubur bertingkat kerana di bawahnya terdapat kubur-kubur lama.

"Pembangunan itu turut mengambil inspirasi daripada Perkuburan Islam Baitul Sakinah, Kuala Lumpur yang terkenal dengan susun atur komprehensif dan sistem pengurusan yang cekap.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan persekitaran perkuburan bukan sahaja tersusun, malah memenuhi keperluan syariah serta memberi keselesaan kepada waris," ujarnya.

Shaikh Harun berkata, projek itu dilaksanakan oleh Syarikat Global Wave Landscape dengan kos keseluruhan RM3.95 juta.

"Tanah perkuburan ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang solat jenazah, tandas, pejabat pengurusan, sistem lampu bagi pengebumian malam dan kemudahan letak kenderaan.

"MAIDAM Property Sdn Bhd turut dilantik sebagai operator pengurusan tanah perkuburan berkenaan," ujar beliau.

Mengulas mengenai inisiatif wakaf bagi membangunkan projek itu, beliau berkata, sambutan masyarakat sejak pelancaran Wakaf Perkuburan Islam Paya Bunga pada 2020 sangat menggalakkan.

"Sehingga 24 November 2025, jumlah kutipan wakaf mencecah RM4.08 juta. Ini membuktikan keprihatinan dan sokongan masyarakat terhadap pembangunan tanah perkuburan Islam yang lebih tersusun dan moden.

"Bagi tempoh 2023 hingga 2025, kutipan keseluruhan wakaf tunai merekodkan RM2.9 juta melibatkan pelbagai kategori termasuk Wakaf Tunai biasa, Wakaf Perkuburan Paya Bunga, Wakaf Pusat Hemodialisis dan Wakaf BSN.

"Peningkatan ketara turut dicatatkan bagi Wakaf Pusat Hemodialisis pada tahun 2024 yang merekodkan RM868,251.20," jelasnya.

Beliau berkata, agihan wakaf diagihkan kepada sektor keagamaan, pendidikan, penyelenggaraan kubur serta bantuan am termasuk peruntukan untuk projek masjid, penyelenggaraan tanah perkuburan dan manfaat anak-anak yatim.

Menurutnya, keseluruhan peruntukan manfaat wakaf berjumlah RM177,500.09 manakala istibdal wakaf berjumlah RM127,686 yang digunakan untuk pembinaan dan naik taraf kemudahan masjid.

"Kita amat menghargai semangat wakaf yang ditunjukkan oleh para penyumbang. Ia membuktikan budaya kebajikan yang semakin subur dalam kalangan masyarakat di Terengganu," katanya.