Perpaduan asas bina masa depan Terengganu, Malaysia lebih baik - MB

Iklan
Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum menjadi asas penting dalam membina masa depan negeri dan negara yang lebih sejahtera, aman serta berdaya tahan menjelang Tahun Baharu 2026.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian latar belakang yang wujud di Malaysia dan di Terengganu bukan satu kelemahan sebaliknya menjadi kekuatan sekiranya dipelihara dengan sikap saling menghormati, memahami dan hidup dalam suasana muhibah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sikap saling menghormati, memahami dalam suasana muhibah merupakan kunci dan teras kepada perpaduan berkekalan sekali gus menjamin keamanan dan kesejahteraan bersama.

"Kita melangkah ke Tahun Baharu 2026 dengan rasa syukur dan harapan yang besar. Setiap tahun yang berlalu mengajar kita banyak perkara iaitu tentang sabar dan usaha serta tentang pentingnya kita saling berganding bahu.

Iklan

"Tahun baharu ini membawa harapan untuk kehidupan yang lebih baik, masa depan yang lebih terjamin dan sebuah Malaysia yang terus maju dengan hati yang bersatu," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang dimuat naik menerusi laman sosialnya pada Rabu.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar, rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai ujian dengan berpaksikan ilmu, nilai murni dan semangat kebersamaan agar pembangunan yang dicapai bukan sahaja bersifat material, malah seimbang dari segi sosial dan akhlak.

Iklan

"Malaysia dan Terengganu dibina atas kepelbagaian. Kita berbeza kaum, budaya dan latar belakang, namun di situlah terletaknya kekuatan kita.

"Apabila kita saling menghormati, memahami dan hidup dengan penuh muhibah, perpaduan akan terus terpelihara dan keamanan dapat dinikmati bersama," ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pembangunan secara adil dan inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, kedudukan atau latar belakang.

Katanya, setiap perancangan dan pembangunan akan dilaksana secara adil dan inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

"Pembangunan yang seimbang adalah asas kepada perpaduan yang berkekalan dan kerajaan negeri akan terus memikul amanah ini dengan sebaik mungkin," jelas beliau.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar tahun baharu ini menjadi medan untuk rakyat memperkukuh persefahaman, meningkatkan kerjasama dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan sebagai sebuah keluarga besar.

"Mudah-mudahan tahun ini menjadi ruang untuk kita saling memahami dengan lebih baik, bekerjasama dengan lebih erat dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan sebagai satu keluarga besar.

"Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026. Semoga setiap langkah kita dipermudah, setiap usaha diberkati dan setiap kejayaan dapat dinikmati bersama demi Terengganu dan Malaysia yang lebih baik,"ujar beliau.