Bawa pulang RM300 menang 'ngail' ikan darat dalam hujan

Iklan
Mohd Saiful Mizan (dua, kanan) menunjukkan hasil tangkapan yang membolehkannya muncul johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300.

KUALA TERENGGANU – Pengalaman memancing menggunakan joran tradisional dalam cuaca hujan renyai menjadi kenangan bermakna buat seorang pemancing apabila muncul johan pertandingan ngail ikan darak di Kampung Paya Lima Amas dan Batu 6 di sini, baru-baru ini.

Berbekalkan kesabaran, Mohd Saiful Mizan Zakari, 19, menewaskan 218 peserta lain selepas berjaya menaikkan ikan seberat 2.9 kilogram dalam cabaran yang berlangsung bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu.

Iklan
Iklan

"Hampir setiap tahun saya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan ini dan kali ini saya bernasib baik apabila joran saya terkena ikan bersaiz agak besar.

"Walaupun basah dan kesejukan sejak awal pertandingan, tapi inilah nikmat memancing. Bila dapat ikan, semua penat terus hilang," katanya yang menaikkan beberapa ekor ikan keli bersaiz besar.

Iklan

Hujan yang turun sejak awal pagi tidak mematahkan semangat ratusan kaki pancing yang berkumpul di kampung berkenaan, malah mewujudkan suasana santai dan penuh keakraban apabila peserta setia menunggu di tebing sambil menanti joran disambar ikan.

Cuaca hujan tidak mematahkan semangat kaki pancing apabila ratusan peserta mencuba nasib menggunakan joran tradisional sepanjang pertandingan berlangsung.

Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Lima Amas, Ibrahim Harun berkata, aktiviti tersebut dianjurkan sebagai platform menyatukan penduduk tanpa mengira perbezaan latar belakang atau fahaman politik.

"Walaupun JPKK dan JPKKP berlainan parti, kami tidak bermusuh. Dalam apa jua program dan bantuan, keutamaan diberikan kepada kepentingan rakyat dan penduduk kampung tanpa mengira parti politik.

"Pertandingan kali ini juga mendapat sambutan di mana 219 peserta pelbagai peringkat umur mengambil bahagian dengan sebahagiannya hadir bersama ahli keluarga," katanya.

Menurut beliau, antara spesies ikan darat yang dilepaskan dan dipancing dalam pertandingan itu ialah ikan haruan, belut dan ikan puyu yang memerlukan ketelitian serta kesabaran tinggi.

Selain hadiah utama, pelbagai hadiah cabutan bertuah turut ditawarkan termasuk hamper, basikal dan barangan dapur bernilai lebih RM5,000.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Ir Tn Haji Zaharuddin Zahid yang turut hadir menyifatkan pertandingan itu menyifatkan aktiviti tersebut menjadi medium mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.

"Insya-ALLAH, pada penganjuran tahun hadapan saya akan sediakan hadiah utama berupa sebuah motosikal," katanya.