BESUT – Kekecohan yang tular di media sosial ketika agihan borang tapak Bazar Ramadan di sini baru-baru ini berpunca daripada salah faham dan provokasi sesama peniaga.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hasil siasatan Majlis Daerah Besut (MDB) mendapati insiden itu berlaku pada Isnin lalu (29 Disember 2025) kira-kira jam 9 pagi ketika proses penjualan borang permohonan tapak bazar Ramadan sedang dijalankan oleh pihak penganjur.
“Punca utama kejadian adalah salah faham dan provokasi dalam kalangan peniaga berkaitan agihan petak bazar Ramadan.
“Walaupun penganjur telah menetapkan supaya semua peniaga beratur sebelum pintu pagar MDB dibuka, terdapat segelintir individu yang tidak mematuhi arahan dan mencetuskan provokasi sehingga menimbulkan kekeliruan serta ketegangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Wan Sukairi berkata, dianggarkan kira-kira 100 peniaga berada di hadapan pintu pagar MDB pada waktu itu bagi membeli borang permohonan tapak bazar Ramadan.
Jelas beliau, penjualan borang berkenaan melibatkan tiga lokasi bazar Ramadan iaitu Bazar Ramadan Kampung Raja dengan 60 tapak, Bazar Ramadan Jalan Aman Kampung Raja (52 tapak) dan Bazar Ramadan Bukit Kenak (60 tapak), menjadikan keseluruhan 172 tapak disediakan.
Mengulas langkah kawalan yang diambil, beliau berkata pihak penganjur telah mengehadkan pembelian kepada dua keping borang sahaja bagi setiap peniaga selain menyediakan garisan serta laluan beratur mengikut lokasi bazar.
“Anggota penguat kuasa MDB turut ditempatkan di lokasi bagi mengawal keadaan dan memastikan proses penjualan borang berjalan lancar.
“MDB juga akan memastikan pihak penganjur menyediakan kaedah penjualan borang yang lebih sistematik pada masa hadapan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Menurut Wan Sukairi, penganjur turut memberi peringatan awal kepada peniaga bahawa sebarang bentuk provokasi atau kekecohan tidak akan dikompromi.
“Peniaga yang terlibat boleh dikenakan tindakan termasuk disenarai hitam dan tidak dipertimbangkan untuk menyertai bazar Ramadan pada masa hadapan, selain tindakan lain sekiranya melibatkan kerosakan harta benda kerajaan,” jelasnya.
Jelas beliau, kejadian tersebut merupakan kes terpencil memandangkan penjualan borang berlangsung selama dua hari dan kekecohan hanya berlaku pada hari pertama.
“Kejadian ini tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya kerana majoriti peniaga adalah peniaga lama yang berdisiplin.
“Situasi tercetus apabila segelintir peniaga baharu yang tidak berjaya mendapatkan borang bertindak melakukan provokasi, namun keadaan berjaya dikawal dan proses penjualan borang dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata MDB mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk memperkemas sistem penjualan dan pengagihan borang, membuat hebahan awal prosedur yang lebih jelas kepada peniaga serta memperkukuh kawalan dengan menambah anggota penguat kuasa di lokasi terlibat.
Sebelum ini tular video berdurasi 36 saat memaparkan kekecohan berlaku di pintu masuk Majlis Daerah Besut di mana peniaga dilihat berkumpul beramai-ramai dan mencetuskan kekecohan sebelum pintu tersebut dibuka.