KUALA NERUS – Diuji kehilangan tiga pekerja yang juga ahli keluarga terdekat serta masalah kesihatan serius sejak dua tahun lalu, seorang usahawan kek lapis mengambil keputusan luar biasa dengan menutup perniagaan dan melepaskan sebuah kendera saji atau food truck lengkap bersama peralatan perniagaan bernilai kira-kira RM60,000 kepada pembeli bertuah.
Pengusaha Pau dan Kek Lapis Terengganu, Nor Aini Zakaria, 57, berkata, keputusan itu dibuat selepas kesihatannya terjejas akibat penyakit kritikal lacunar infarct (LACI) yang dialaminya pada 2024, menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja dan hanya bergantung kepada pencen ilat skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Menurut Nor Aini, beliau mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 2001 dengan menghasilkan pau sebelum mengembangkan perniagaan kek lapis pada 2010.
Namun katanya, segalanya berubah selepas tiga pekerja termasuk adik iparnya meninggal dunia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Selepas adik ipar saya meninggal dunia, saya cuba serahkan pengurusan kepada orang lain termasuk menyewakan food truck dengan kadar RM1,000 sebulan, tetapi bayaran tidak konsisten dan ada yang tidak dibayar.
"Dengan keadaan kesihatan sekarang, saya tidak lagi mampu menguruskan perniagaan ini. Jadi saya ambil keputusan untuk menyerahkan food truck dan semua peralatan melalui cabutan bertuah kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal di sini pada Rabu.
Nor Aini berkata, selain food truck bernilai kira-kira RM40,000 yang dilengkapi meja keluli tahan karat dan peti sejuk beku, turut ditawarkan pelbagai peralatan termasuk ketuhar, deep fryer, dua pengukus, mesin ais krim, kuali tidak melekat, sudu keluli serta set peralatan elektrik lain yang dibeli menggunakan modal sendiri.
"Semua mesin ini dibeli atas nama saya sendiri, termasuk pembelian melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan bayaran dibuat menggunakan pencen PERKESO yang diterima.
"Kesemua hadiah dianggarkan hampir RM60,000 ini saya tawarkan kepada pembeli bertuah iaitu mereka yang membeli kek lapis yang dijual melalui semua platform jualan yang kita sediakan," jelasnya
Menurutnya, cabutan itu terbuka kepada pelanggan yang membeli kek lapis keluarannya, dengan setiap pembelian RM100 melayakkan satu penyertaan manakala pembelian RM150 membolehkan dua penyertaan.
Katanya, lapan jenis kek lapis ditawarkan dalam tiga kategori iaitu kek lapis bajet seberat 130 gram berharga RM15, kek lapis ekonomi (300 gram) pada harga antara RM35 hingga RM40 serta kek lapis premium seberat 1.3 kilogram dengan harga RM150.
"Cabutan bertuah ini menyasarkan 1,000 pembeli dan dijangka diadakan pada 30 Mac 2026 di Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal di sini,” katanya.
Nor Aini turut memaklumkan bahawa pembelian kek lapis bagi menyertai cabutan bertuah itu boleh dibuat melalui TikTok (Mama Kelubung), WhatsApp, Shopee (Pau Nurul) serta laman web yang diuruskan oleh anaknya.
"Walaupun berat hati untuk tutup perniagaan ini, saya nekad kerana tiada waris yang akan menguruskan perniagaan ini. Saya hanya ada satu-satunya anak tunggal perempuan dan kini sedang menyambung pengajian di sebuah universiti," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, lokasi perniagaan bagi pengeluaran produk di bawah Nabz Food Industries Sdn Bhd miliknya turut dicadangkan sebagai tapak pembangunan asnaf dan kini sedang dibincangkan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
"Saya hanya berharap usaha kecil ini memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi asbab kebaikan walaupun saya tidak lagi mampu meneruskan perniagaan seperti dahulu," katanya.