PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak apabila Presidennya, Gianni Infantino menganugerahkan Anugerah Keamanan FIFA yang julung kali diperkenalkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Tindakan itu dilihat bercanggah dengan pendirian FIFA selama ini yang sering mengenakan denda dan penggantungan terhadap pemain bola sepak yang memaparkan mesej politik atas alasan badan induk itu bersikap berkecuali dalam isu politik.
Banyak pihak menyifatkan anugerah berkenaan diberikan kurang daripada 24 jam selepas pentadbiran Trump melancarkan serangan udara di Caribbean yang dilaporkan mengorbankan nyawa sebagai tidak wajar.
Bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Craig Mokhiber menyifatkan penganugerahan itu sebagai sesuatu yang sungguh memalukan.
Mokhiber, yang lantang berkempen agar Israel digantung daripada bola sepak dunia susulan perang di Gaza, mendakwa Infantino bersikap hipokrit.
“Tidak berpuas hati dengan dua tahun bersubahat dengan genosid di Palestin, Infantino dan kroninya kini mencipta 'hadiah keamanan' baharu demi memenangi hati Donald Trump,” kata Mokhiber kepada Al Jazeera.
Menurutnya, anugerah itu seolah-olah cuba mengaburi rekod buruk Trump, termasuk sokongan ketenteraan kepada Israel serta pelanggaran hak asasi manusia di dalam AS sendiri.
Tindakan FIFA itu turut menjadi bahan sindiran di media sosial.
Wartawan bola sepak, Zach Lowy menulis: “Memberi Donald Trump hadiah keamanan samalah seperti memberi Luis Suarez hadiah kerana tidak menggigit telinga orang,” merujuk kepada insiden lampau penyerang Uruguay itu.
Pengkritik hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) turut membidas anugerah itu dengan menyatakan rekod hak asasi manusia pentadbiran Trump yang mengerikan tidak mencerminkan tindakan luar biasa untuk keamanan dan perpaduan.