Exco FAM letak jawatan: KBS tunggu laporan CAS sebelum tindakan lanjut

Iklan
Mohammed Taufiq ketika ditemui media sempena lawatan kerja ke tapak Perak Youth Center di Tambun, pada Rabu.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menunggu laporan serta keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum mengambil sebarang tindakan, susulan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementerian menghormati keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi FAM kerana ia merupakan ketetapan dalaman persatuan itu sendiri.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang kenyataan rasmi mahupun tindakan susulan hanya akan ditentukan selepas laporan CAS diterima berkaitan rayuan badan induk berkenaan terhadap denda dan penggantungan pemain.

"Saya menghormati keputusan yang dibuat semua Exco FAM meletakkan jawatan. Itu adalah keputusan mereka dan keputusan persatuan.

Iklan

"Saya memberikan ruang yang secukupnya dan kita menunggu keputusan daripada CAS untuk tindakan lanjut seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena lawatan kerja ke tapak Perak Youth Center di Tambun, pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.

Mengulas kebimbangan sama ada peletakan jawatan tersebut akan menjejaskan landskap bola sepak negara, Mohammed Taufiq menegaskan situasi itu tidak memberi kesan kepada perjalanan aktiviti bola sepak mahupun semangat rakyat Malaysia terhadap sukan berkenaan.

"Perkara ini tidak menjejaskan aktiviti bola sepak dan juga tidak menjejaskan semangat rakyat kita.

"Keputusan ini bukan terletak pada KBS atau saya, tetapi keputusan mereka sendiri. Jadi kita menghormati dan memberikan ruang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap bola sepak negara terus diperkasakan dan kekal sebagai sukan nombor satu pilihan rakyat Malaysia.

"Harapan saya, bola sepak di negara kita ini terus menjadi antara sukan yang paling diminati rakyat dan kita terus memperkasakannya bukan sahaja di peringkat negara, malah di peringkat antarabangsa," katanya.

Pada Rabu, FAM mengumumkan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 meletakkan jawatan serta-merta dengan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dan tanpa kepentingan peribadi.

Krisis dalaman FAM tercetus selepas FIFA mengesahkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan FAM dan tujuh pemain naturalisasi, termasuk dakwaan penggunaan dokumen tidak sah bagi mengesahkan kelayakan pemain.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan kini menunggu keputusan rayuan di CAS selepas rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA ditolak.