ATLET lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata berhasrat untuk menggunakan wang ganjaran yang diterima untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
Nani Sahirah, 25, berkata, perancangan itu dibuat selepas menerima insentif daripada kerajaan negeri dan menganggap ia sebagai rezeki yang tidak sangka.
"Sebagai anak Pahang saya amat bersyukur kerana menerima ganjaran keseluruhan RM10,000 iaitu RM8,000 dan RM2,000 selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
"Memang saya ada niat nak pergi umrah..cuma buat masa ini saya tengok keadaan dahulu. Kalau ada yang sudi taja, itu juga satu rezeki besar buat saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025 di sini pada Rabu.
Anak jati kelahiran Kuantan itu penerima insentif tertinggi berdasarkan pencapaiannya meraih pingat emas acara lontar peluru dan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan.
Difahamkan Nani Sahirah mencatat lontaran 16.36 meter pada Sukan Sea tersebut.
Pada majlis itu, seramai 52 atlet Sukan Sea dan Para ASEAN menerima insentif yang keseluruhan berjumlah RM170,500 daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menjawab mengenai perancangan seterusnya, Nani Sahirah mengakui sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi temasya Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung di Osaka, Jepun pada September depan.
"Saya sedang fokus sepenuhnya kepada Sukan Asia dan jrulatih mensasarkan saya untuk membawa pulang pingat, insya-ALLAH.
"Saya kini berada di kedudukan kelima dan pastikan akan usahakan sehabis baik untuk memastikan sasaran podium itu tercapai," ujarnya.
Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan atlet Pahang pada edisi kali ini sangat membanggakan dan menunjukkan peningkatan prestasi luar biasa.
Menurutnya, susulan pencapaian cemerlang, kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar insentif kemenangan buat atlet yang mengharumkan nama negeri.
"Bagi kategori individu, pemenang pingat emas kini menerima RM8,000 berbanding RM5,000 sebelum ini, manakala perak dinaikkan kepada RM4,000 dan gangsa RM2,500.
"Bagi insentif emas berpasukan melebihi tiga orang, mereka akan menerima RM4,000, diikuti perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500)," katanya.
Fadzli menambah, sebagai suntikan semangat tambahan, kerajaan negeri turut menyediakan insentif khas bagi atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan.
"Kerajaan Pahang turut menyediakan insentif khas sebanyak RM2,000 bagi atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan Sukan SEA," jelasnya lagi.
Secara keseluruhan, atlet Pahang berjaya menyumbang tujuh pingat emas, masing-masing lapan pingat perak dan gangsa dalam Sukan SEA manakala satu emas, dua perak dan empat gangsa dalam Sukan Para ASEAN diThailand baru-baru ini.