Selangor sedia selesai isu perumahan strata secara menyeluruh - Amirudin

Iklan
Amirudin (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek simbolik kepada wakil penduduk sempena Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersedia menyelesaikan isu perumahan berstrata secara menyeluruh melalui tiga fokus utama merangkumi pemilikan strata, naik taraf infrastruktur dan pembangunan sosial komuniti.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu adalah kesinambungan dasar sedia ada dan bukan program bermusim, malah disokong peruntukan lebih besar bagi memastikan penyelesaian holistik terutama di kawasan apartmen dan pangsapuri kos rendah berusia puluhan tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu paling asas yang sedang diselesaikan ialah pemilikan strata yang tertangguh sejak bertahun-tahun akibat kegagalan sesetengah pemaju menunaikan tanggungjawab.

"Pada tahun 2026, kita anggarkan 10 kawasan apartmen akan berjaya diselesaikan isu strata, malah pada tahun ini sudah ada senarai yang sedang berjalan. 

Iklan

"Tanpa hak milik strata, banyak manfaat tidak dapat dinikmati penduduk termasuk cukai petak yang tak dapat dilaksanakan kerajaan negeri dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap sempena Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 di sini pada Selasa.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri menyediakan dana khas bagi mempercepatkan proses melibatkan pelan ukur, urusan peguam dan kelulusan pejabat tanah yang kini diteliti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Iklan

Mengulas usaha kedua, Amirudin berkata, program Ceria diteruskan dengan peningkatan peruntukan sehingga RM5 juta pada tahun depan bagi membaik pulih lif, sistem kumbahan, bumbung, pendawaian elektrik dan pelbagai infrastruktur asas lain di kawasan padat.

"Setiap tahun kita peruntukan tiga hingga empat juta, tapi tahun depan kita naikkan kepada RM5 juta untuk pastikan lebih banyak apartmen dapat dibaik pulih,” katanya.

Selain fizikal, katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan sosial melalui program rewang komuniti, kemudahan perpustakaan dan projek sosial lain.

"Bagi kawasan apartmen, isu bukan sekadar lif rosak atau longkang tersumbat, tetapi ada masalah hubungan sosial, tekanan hidup dan sejarah konflik panjang. 

"Sebab itu kita masuk dengan program sosial untuk pulihkan semangat komuniti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri kini bersedia memasuki fasa lebih besar iaitu pembangunan semula pangsapuri lama yang dibina sejak 1970-an lagi melalui model ‘menang-menang’ kepada penduduk.

"Kita akan minta LPHS dan PBT (pihak berkuasa tempatan) tangani satu atau dua projek pembangunan semula menjelang 2027. 

"Ini cabaran besar kerana melibatkan penempatan semula penduduk, kos tinggi dan perancangan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan kawasan perbandaran lama tidak menjadi usang dan terus relevan seiring peningkatan status bandar raya beberapa PBT termasuk Subang dan Klang.

Amirudin menjelaskan,  semua usaha kerajaan negeri tidak akan berjaya tanpa kerjasama penduduk khususnya JMB dan persatuan penduduk.

“Kerajaan buat macam-macam antaranya bersihkan kawasan, tukar lif, baik pulih bangunan, tapi kalau komuniti tak jaga, tempat itu jatuh semula. Ini realiti yang berlaku di beberapa lokasi,” tegasnya.