BUKIT KAYU HITAM - Lebih 200 kenderaan milik rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand dengan sebahagian besar daripadanya ditemui tenggelam di aras bawah tanah hotel dan pusat komersial selepas bandar pelancongan itu dilanda banjir besar.
Pengusaha Insurans Travel Thai.My, Ammar Wafiy Johari berkata, keadaan paras air yang tinggi menyebabkan banyak kenderaan bukan sahaja rosak, malah tidak boleh digerakkan langsung kerana dipenuhi lumpur dan air banjir.
Menurutnya, kerajaan Thailand setakat ini hanya memberikan kuota 15 trak tunda untuk masuk ke kawasan Hatyai bagi membawa pulang kenderaan yang terjejas dan jumlah itu disifatkan terlalu kecil berbanding jumlah sebenar kereta yang masih terkandas.
“Lebih 200 kereta Malaysia berada di sana hasil maklumat. Banyak kereta yang berada di aras bawah tanah dan ada juga yang terbalik akibat arus deras.
"Dengan 15 trak tunda sahaja, ia memang tidak mencukupi. Jika operasi berjalan lancar, barulah kami mohon tambahan kuota,” katanya semasa ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Ahad.
Beliau berkata, bilangan kenderaan yang terkandas dijangka akan bertambah selepas pihaknya mula dihubungi oleh pemilik kenderaan yang telah pulang lebih awal ke negara ini.
Tambahnya, majoriti pemilik tidak mengambil perlindungan tambahan untuk memasuki Thailand menyebabkan kerugian besar apabila kenderaan terlibat dalam bencana.
“Kebanyakan insurans Thailand memang tidak meliputi bencana alam. Dianggarkan hanya 5 peratus sahaja kereta Malaysia yang ada insurans tambahan untuk banjir di Thailand. Situasi ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha FTC Al Fauzan Thai Insurans, Mohd Uzir Mohamad Daud berkata, operasi yang bermula pada petang Sabtu turut mendapat kerjasama Konsulat Malaysia di Songkhla bagi memudahkan urusan dokumentasi keluar-masuk kenderaan, termasuk geran asal dan borang deklarasi kastam Thailand.
Menurutnya, sebanyak 15 kenderaan berjaya dibawa keluar pada operasi hari pertama, manakala pada hari kedua dijangka sehingga 70 kenderaan dapat dikeluarkan berdasarkan keadaan semasa.
“Kemampuan satu trak tunda hanya tiga hingga lima kereta sehari, bergantung kepada keadaan kenderaan. Ada kereta sistemnya automatik terkunci, ada yang penuh lumpur, jadi proses menarik jadi lebih perlahan.
“Jika diambil kira keadaan sekarang, operasi lengkap mengeluarkan semua kenderaan mungkin mengambil masa hampir seminggu,” katanya.
Seorang lagi pengusaha trak tunda Jitra, Mohd Akmal Aniq Shahabudin berkata, antara cabaran yang dihadapi pihaknya adalah untuk mencari kenderaan yang telah beralih akibat dihanyut banjir dari tempat asal diparkir.
Menurutnya, tempoh untuk mengangkat kereta tersebut ke atas trak tunda mengambil masa sehingga satu jam bergantung kepada keadaan kenderaan tersebut.
“Apabila jumpa kereta yang dicari, ada yang terhalang dan bertindan oleh kenderaan lain.
"Bagi melindungi kotak gear kereta itu, kami perlu menggunakan tayar sokongan untuk mengerakkan kenderaan tersebut untuk dibawa ke atas trak tunda, selain menjaga komponen-komponen yang masih boleh diselamatkan,” katanya lagi.
Kata Mohd Akmal Aniq, antara kenderaan yang mengalami kerosakan dan tenggelam dalam banjir tersebut yang ditemui termasuklah kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Jaecoo J7 selain Perodua Myvi dan Perodua Ativa.