Mimpi umi sibuk bantu persiapan masuk MRSM - Putri Qisya

Iklan
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) hadir memberikan kata-kata semangat kepada Putri Qisyasemasa membeli kelengkapan persekolahn di Alor Setar.

JERLUN -"Qisya mimpi umi dan dua adik temankan beli barang untuk masuk MRSM. Umi paling sibuk bantu siapkan barang-barang nak masuk MRSM walaupun mimpi sekejap sahaja."

Itu perkongsian Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 13, yang bermimpi kehadiran arwah ibunya sedang membantu membuat persiapan untuk memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) beberapa hari lalu.

Iklan
Iklan

Dia kehilangan kedua ibu bapanya dan empat adik-beradik dalam tragedi menyayat hati apabila kereta dinaiki mereka sekeluarga terjunam ke dalam Sungai Korok, Julai tahun lalu.

Menurutnya, mimpi itu berlaku sejurus sebelum dia dikejutkan oleh neneknya untuk solat Subuh.

Iklan

“Qisya percaya jika umi dan walid ada, mesti mereka bangga dengan pencapaian ini. Masuk MRSM memang impian umi sejak dulu,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di sini.

Putri Qisya adalah anak sulung kepada pasangan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Allahyarhamah Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang ditemukan lemas bersama empat anak mereka dalam tragedi yang menggemparkan negara.

Iklan

Empat adik Putri Qisya yang turut terkorban ialah Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Dia yang bercita-cita menjadi juruterbang bersyukur kerana menerima sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak sejak tragedi itu.

“Alhamdulillah, ramai yang bantu. Qisya sangat hargai. Qisya janji akan belajar bersungguh-sungguh demi arwah umi dan walid serta semua yang bantu Qisya selama ini,” ujarnya yang bakal melanjutkan pelajaran ke MRSM Kubang Pasu pada Selasa.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat (kanan) hadir menyampaikan sumbangan dan membawa Putri Qisya membeli kelengkapan persekolahan di Alor Setar.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat hadir menyampaikan sumbangan dan membawa Putri Qisya membeli kelengkapan persekolahan di Alor Setar.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberikan kata-kata semangat kepada pelajar itu.

Mahdzir berkata, UMNO Kedah melalui sayap pemudanya mengambil tanggungjawab membantu Putri Qisya bagi memastikannya mendapat peluang pendidikan terbaik demi masa depan yang lebih cerah.