KOTA SARANG SEMUT – Penutupan Jambatan Sungai Sala, di sini sejak 1 Disember lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan baharu fasa dua didakwa menjejaskan kehidupan harian serta ekonomi penduduk setempat khususnya peniaga kecil.
Kira-kira 70 penduduk berhimpun di kawasan jambatan berkenaan pada Selasa bagi menyuarakan keluhan mereka.
Pemilik Rania Cafe, Siti Rohaida Ahamadan, 35, berkata, perniagaannya mengalami kemerosotan ketara sejak jambatan itu ditutup.
Menurutnya, perbezaan jualan kasar pada Disember berbanding November tahun lalu adalah hampir separuh sehingga menjejaskan pendapatan perniagaannya.
“Akibat itu, dua dari tujuh pekerja saya terpaksa mencari pekerjaan lain kerana saya tidak mampu membayar gaji seperti biasa. Jika keadaan berlarutan, saya mungkin terpaksa mengurangkan lagi jumlah kakitangan,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Batu 14, Sungai Daun, Mohammad Rauyani Lazim, 44, pula berkata, penutupan jambatan menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jauh dan memakan masa.
Menurutnya, penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat membuka laluan sekurang-kurangnya untuk motosikal bagi kemudahan penduduk.
"Mereka yang mahu pergi ke Bukit Besar terpaksa melalui Bukit Choras yang mengambil masa kira-kira 20 minit.
“Kesukaran ini menyukarkan urusan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Bomba Sukarela Kota Sarang Semut, Chia Seng Chai, 54, berkata, penutupan jambatan turut menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan.
Katanya, sekiranya berlaku kebakaran, pasukan bomba sukarela tidak dapat masuk ke kampung-kampung tertentu kerana laluan ditutup dan perlu menggunakan jalan alternatif yang mengambil masa antara setengah jam hingga satu jam untuk ke lokasi.
Mengulas perkara itu, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada penduduk terlibat.
Menurutnya, projek pembinaan jambatan berkenaan telah diberikan lanjutan tempoh siap (EOT) sehingga Jun 2026.
“Saya dimaklumkan JKR telah mengadakan sesi penerangan kepada wakil rakyat kawasan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta wakil penduduk dan peniaga.
“Namun, pendirian JKR dan kerajaan negeri adalah untuk mengutamakan aspek keselamatan kerana laluan itu sempit dan berisiko tinggi sekiranya dibuka semasa kerja pembinaan sedang berjalan,” katanya ketika dihubungi media.
Beliau menegaskan, JKR tidak berniat menyusahkan penduduk, sebaliknya terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Jelasnya, sekiranya struktur utama seperti platform telah siap, ada kemungkinan laluan dibuka sementara pada waktu tertentu.
“Saya sendiri melalui laluan alternatif itu dan mengakui jaraknya lebih jauh serta mengambil masa.
"Namun, kerjasama dan pengorbanan semua pihak amat diperlukan demi keselamatan orang ramai,” katanya lagi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa Jambatan Sungai Sala di laluan FT001, dari simpang Bukit Besar hingga simpang tiga Kota Sarang Semut/Pendang, ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula 1 Disember 2025 hingga 16 Jun 2026 bagi pelaksanaan pembinaan jambatan baharu fasa dua.