'Potongan tinggi, apa yang tinggal untuk kami?'

Iklan
Petani mengharapkan kerajaan campur tangan berhubung peningkatan potongan pemutuan yang semakin meningkat.

MERBOK – Kerajaan diminta campur tangan segera berhubung peningkatan kadar potongan pemutuan padi sehingga mencecah 24 peratus yang didakwa terlalu tinggi dan membebankan pesawah.

Seorang pesawah, Mohammad Rashid Md Isa, 62, dari Sungai Gelam berkata, kadar potongan itu meningkat ketara berbanding musim lalu yang hanya sekitar 17 hingga 20 peratus.

Iklan
Iklan

“Musim lepas, potongan sekitar 17 peratus, namun awal tahun ini kami terkejut apabila potongan mencecah sehingga 24 peratus.

“Perkara ini turut menjadi keluhan ramai pesawah lain kerana ia memberi kesan langsung kepada pendapatan kami,” katanya.

Iklan

Mohammad Rashid berharap isu berkenaan diberi perhatian serius dan semakan dibuat memandangkan kos mengerjakan sawah ketika ini juga semakin meningkat.

Mohamad Rashid (kiri) dan Azman

Iklan

Sementara itu, Azman Ahmad, 55, dari Kota Kuala Muda berkata, potongan tinggi berkenaan memberi tekanan kepada pesawah apabila pendapatan yang diperoleh semakin mengecil.

“Kami bimbang perkara sama akan turut dihadapi pesawah di kawasan lain yang kini sedang menunggu musim menuai.

“Kami bersusah payah mengerjakan sawah untuk menyara keluarga, ada pula yang mengusahakan sawah berskala kecil. Apabila potongan terlalu tinggi, berapa banyak keuntungan yang tinggal,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Abdul Mutalib Darus, 71, dari Merbok, menggesa agar pemantauan dilakukan supaya potongan pemutuan tidak dibuat secara keterlaluan sehingga menekan golongan pesawah.

Menurutnya, pesawah telah melalui pelbagai cabaran pada musim ini termasuk menanggung kos tinggi bagi kerja membajak, pembelian benih, pembajaan, racun, selain upah menuai dan kos pengangkutan padi ke kilang.

“Kini kami terpaksa berdepan pula dengan potongan tinggi. Apa keuntungan yang tinggal untuk kami, hanya penat bekerja sedangkan keuntungan lebih dinikmati pihak pengilang,” katanya.

Abdul Rashid

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, keadaan itu menjejaskan pendapatan pesawah yang sebelum ini sudah menanggung kos operasi yang semakin meningkat.

“Kita akan memanjangkan aduan ini kepada pihak berkaitan supaya satu penyelesaian tuntas dapat dicari.

“Dalam masa sama, pihak terlibat diharap lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan petani tertekan akibat pendapatan mereka terjejas,” katanya.