Bekas Pengerusi JPKK didakwa pecah amanah RM40,000

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes selesai dibacakan pada Rabu.

KUANTAN - Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Jerantut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang bayaran kontrak pembalakan berjumlah RM40,000 yang dibayar sebuah syarikat kepada JPKK kampung itu antara 2022 hingga 2023 lalu.

Tertuduh, Mohamed Sahimi Wan Ishak, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Sazlina Safie.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah ke atas RM40,000 yang diserahkan wakil sebuah syarikat pembalakan kepada JPKK Kampung Mat Daling selaras dengan perjanjian pembalakan antara dua pihak terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua premis berasingan termasuk di pejabat syarikat pembalakan di Taman Temin Utama Jerantut pada Julai 2022 dan April 2023.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan, warga emas itu berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Iklan

Ekoran pengakuan tidak bersalahnya itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ditawarkan jaminan RM10,000 dengan tiga syarat tambahan.

Bagaimanapun pihak peguam dalam rayuan merayu agar anak guamnya diberikan satu jumlah jaminan minimum mengambil kira faktor usia dan pendapatan tertuduh sekitar RM800 sebulan sebagai penoreh getah.

Peguam turut memberi jaminan, tertuduh akan memberikan kerjasama sepanjang kes berjalan dan tidak mungkin melarikan diri memandangkan dia juga turut menjaga isteri yang kini berusia 61 tahun.

Mengambil kira rayuan tertuduh, Sazlina membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Tertuduh juga diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes tersebut.