SHAH ALAM – [KEMAS KINI] “Saya sangat takut, tapi bila dapat tahu kami boleh naik lori untuk pulang, saya terus rasa bersyukur.”
Demikian pengalaman Norliatika Elias, 29, yang terkandas bersama 15 rakannya ketika banjir besar melanda selatan Thailand sejak Sabtu sewaktu mereka bercuti di negara gajah putih itu.
Katanya, mereka bertolak ke Krabi pada 19 November sebelum tiba keesokan paginya melalui sempadan Padang Besar dalam keadaan cuaca hanya hujan renyai tanpa tanda-tanda awal bencana.
"Namun keadaan berubah apabila Hatyai dilanda banjir teruk sehingga menyaksikan jalan utama ditutup, beberapa kawasan terputus hubungan dan insiden tiang transformer elektrik terbakar.
"Kami sepatutnya meneruskan percutian ke Hatyai pada 22 November namun membuat keputusan kekal sehari lagi di Krabi selepas dimaklumkan keadaan banjir di Hatyai semakin memburuk.
“Pada keesokan paginya, kami bergerak pulang ke Malaysia pada jam 8.30 pagi, tetapi perjalanan lima jam menjadi tujuh jam kerana banyak laluan dinaiki air,” jelasnya yang turut berkongsi pengalaman itu di TikTok.
Ujarnya, mereka turut cuba memasuki sempadan melalui Wang Kelian namun usaha itu gagal selepas dimaklumkan paras air kembali meningkat, memaksa rombongan berpatah balik menggunakan laluan kampung menuju Hatyai.
Bagaimanapun katanya, laluan kampung itu juga ditutup selepas paras air meningkat dengan cepat sehingga mereka terkandas dan tidak sempat menggunakan laluan yang selamat seperti kumpulan rakyat Malaysia lain pada awal hari.
“Pemandu Thailand cuba cari jalan lain tapi semua tak boleh lalu. Masa itu kami memang buntu,” katanya.
Jelasnya, ketika itu mereka yang mulanya menaiki van terpaksa menukar kenderaan beberapa kali termasuk mengangkut semua bagasi berat turun naik van, bas dan lori tanpa bumbung ketika hujan lebat dan arus deras.
“Di atas van saya kesejukan teruk sampai trauma. Selepas turun dari lori, kami tumpang pula bas bersama rakyat Malaysia lain untuk keluar ke sempadan sebelum sambung naik van semula,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu mereka menunggu hampir dua jam sebelum lori yang diuruskan kenalan pemandu tempatan tiba di sebuah lokasi selamat berhampiran 7-Eleven yang turut menjadi tempat berkumpul rakyat Malaysia lain.
Katanya, mereka akhirnya tiba di sempadan Thailand sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan sebelum selamat memasuki Malaysia kira-kira jam 12 tengah malam dan pulang ke destinasi masing-masing sekitar jam 4 pagi.
“Ini pengalaman pertama saya redah banjir dan ia berlaku di negara orang. Walaupun takut, saya sangat bersyukur kami semua selamat,” ujarnya.