Di sebalik keindahan ABC

Iklan
Gunung, lembah dan kehijauan. Gambar kecil: Johan

SAYA menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC) pada jam 11.15 waktu Nepal (1.15 waktu Malaysia) pada hari Selasa 23 September 2025. Saya berusia 71 tahun, 10 bulan dan 14 hari itu.

Kesemua anggota pasukan pendaki kami, kecuali seorang sampai di ABC setelah berjalan sebahagian besarnya mendaki selama enam hari.

Iklan
Iklan

Bermula dari Kimrung Danda, kami telah menapak (berdasarkan kiraan peralatan digital) 113,403 langkah, menginap di enam tempat rehat (lodges) dan mengambil masa perjalanan secara purata lima jam sehari untuk sampai ke situ.

Berlatarbelakangkan keindahan Annapurna Sanctuary.

Iklan

Kami seramai 10 orang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 September lalu, beberapa hari setelah Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Katmandu dibuka semula ekoran revolusi Generasi Z yang menumbangkan kerajaan Nepal.

Di Kathmandu pendaki legenda Mohd Noor Mat Amin dan isterinya, Aisyah Dun sudah menunggu. Dari Kathmandu kami terus ke Ghandruk dan menginap di sana.

Iklan

Perjalanan ke Ghandruk mengambil masa hampir lapan jam dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan yang sepanjang masa bagai dilambung ombak laut. Kami dibawa ke tempat mulanya pendakian di Kimrung Danda keesokan harinya.

Gunung Machhapuchree yang dianggap kudus dan menyerupai ekor ikan.

Pada hari pertama di Kimrung Danda hujan lebat. Perjalanan di denai becak menyebabkan pacat menghinggapi tubuh.

Pendakian hari pertama itu sukar, mengambil masa enam jam 40 minit untuk sampai tempat penginapan di Chhomrong.

Tidak banyak yang dapat dilihat di penginapan di Chhomrong akibat kabus tebal, hujan dan awan. Hanya sesekali Gunung Machhapuchree yang gah di kejauhan menampakkan dirinya.

Juga beberapa buah gunung bersalji yang membajari persekitaran. Pada keesokan harinya kami bergerak ke Upper Sinuwa, perjalanan yang mengambil masa lima jam.

Berjalan dalam angin dan hujan.

Tempat itu berada pada ketinggian 2,320 meter di atas paras laut. Dari Sinuwa kami bergerak pula ke Dovan (atau Dobhan) dan perjalanan ini betul- betul satu ujian bagi pendaki.

Pada ketinggian 2,520 meter Dovan bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental tetapi juga penanda aras penting apakah seseorang boleh bertahan pada ketinggian tertentu.

Ketinggian atau altitude ada risikonya sendiri. Semakin tinggi kita berada kita terdedah pada bahaya altitude sickness atau secara mudahnya penyakit daripada kesan ketinggian.

Pasukan kami semasa berada di ABC.

Kadar oksigen yang menurun dan udara yang menipis boleh membawa kesan pada badan. Akibatnya adalah Acute Mountain Sickness (AMS) yang boleh menjejas paru-baru (pulmonary edema) atau otak (cerebral edema). AMS boleh membunuh. Paru-paru boleh berair dan otak boleh membengkak.

Di mana-mana sepanjang perjalanan ada papan tanda dan notis mengingatkan pendaki perlunya berwaspada. Pada umumnya pendaki tidak boleh membuat pendakian terlalu pantas hingga tubuh tidak terbiasa dengan kekurangan oksigen atau perubahan tekanan udara.

Oleh sebab itu diperlukan proses acclimatization. Pendakian harus dibuat secara terancang dan sistematis dari satu tahap ke tahap yang lain. Dalam konteks ABC waktu ideal pendakian adalah lima atau enam hari.

Perjalanan dari Dovan ke kem seterusnya, Deurali adalah yang paling mencabar. Laluan ini sebahagian besarnya merupakan anak tangga batu buatan manusia yang tidak ada kesusahannya. Setiap kali kita mendongak ke atas yang terlihat hanyalah tangga yang berterusan. Satu lepas satu.

Ribuan tangga. Adakalanya kita melalui laluan semula. Secara psikologi tangga batu buatan manusia jauh lebih memenatkan daripada laluan semula jadi. Perhentian di Duerali amat dialu-alukan setelah berjalan lebih enam jam.

Menjejak ABC pada usia 71 tahun, 10 bulan, 14 hari.

Duerali berada pada ketinggian 3,230 meter. Selepas Duerali ialah Machhapuchree Base Camp (MBC). Sekali lagi perjalanan mendaki yang sukar dan mencabar. Tubuh mudah letih. Langkah semakin perlahan. MPC setinggi 3,700 meter di atas paras laut.

Di MBC, keindahan sebenar sekitar kawasan yang dikenal sebagai Annapurna Sanctuary semakin terdedah. Gunung Machhapuchree yang ketinggiannya 6,900 meter berdiri megah.

Machhapuchree dalam bahasa kaum Gurung, suku yang mendiami kawasan itu, bermakna ekor ikan. Puncak gunung itu menyerupai ekor ikan. Gunung ini dianggap sakral atau kudus dan merupakan satu-satunya gunung yang tidak dibenarkan didaki di Nepal.

Sepatutnya kami hanya memerlukan kira-kira tiga jam untuk sampai ke ABC dari MPC, destinasi yang dituju oleh ribuan pendaki dan trekkers setiap tahun.

Perjalanan kali ini tidak ditandai oleh tangga atau laluan sukar. Tetapi keadaan oksigen yang mula menipis menyebabkan rasa penat dan mudah letih. Ada kalanya pada setiap 200 meter terpaksa berhenti.

Di belakang kami adalah Gunung Machhapuchree, di hadapan kami adalah salah sebuah daripada tiga gunung yang dikenal sebagai Annapurna.

Annapurna I adalah gunung yang ke-10 tertinggi di dunia, 8,091 meter. Juga mulai kelihatan adalah puncak Tharpu Chuli dan Singu Chuli. Keindahan alamnya cukup luar biasa.

Sejauh mata memandang kelihatan deretan gunung bersalji, lembah yang indah dan sekian banyak air terjun dari rekahan gunung. Tidak ada penempatan manusia di di sini selain tempat tinggal untuk pendaki.

Hanya terdapat kambing biri-biri yang mengambil kesempatan daripada tasik kecil di antara MPC dan ABC. Selepas Dovan tidak ada haiwan lain selain biri-biri yang kelihatan.

Keindahan alam menanti kami.

Selainnya adalah keajaiban alam ciptaan ALLAH. Selama lima hari sebelumnya kita telah melihat keindahan alam yang tidak terusik. Banjaran gunung tidak bernama. Hutan yang kekal murni. Batu batan dan tumbuh-tumbuhan yang indah. Juga langit yang membiru.

Beberapa ratus meter sebelum sampai di papan tanda yang menyebutkan “Namaste: Annapurna Base Camp (ABC 4130 meters)” masing-masing kelihatan riang.

Inilah destinasi sebenar kami. Perjalanan sukar dan memenatkan selama enam hari membuahkan hasil. Tubuh manusia mengambil masa beberapa ketika untuk menyesuaikan diri.

Kami mulai menerima hakikat kekurangan oksigen (di antara 12 hingga 15 peratus kurang dari di paras laut) pada ketinggian itu.

Saya bersyukur berada di situ, mungkin salah seorang yang tertua yang menjejak kaki di ABC musim pendakian ini.

>>> BERSAMBUNG

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mendaki di Lembah Langtang, Nepal tahun lalu. Beliau banyak mendaki di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Nepal.