'Mata saya tak nampak, kalau banjir memang harap orang bantu'

Iklan
Keadaan ban pecah akibat fenomena air pasang besar di Kampung Sentosa. Gambar kecil dari kiri: Salbiah, Muhammad Tajuddin

SABAK BERNAM – Kejadian ban pecah akibat fenomena air pasang besar di Kampung Seri Sentosa, Sekinchan di sini memberi kesan besar kepada penduduk terutama dalam kalangan warga emas.

Penduduk, Salbiah Markom, 81, berkata, penduduk tidak lagi sanggup berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali ban pecah kerana limpahan air laut masuk ke dalam rumah.

Iklan
Iklan

"Mata saya dah tak nampak dengan jelas, kalau banjir memang hanya tunggu orang bantu.

"Kalau penjaga tak ada, saya tak tahu macam mana hendak bergerak berpindah,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sri Sekinchan di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, rumahnya di kampung itu sudah dua kali dimasuki air dalam tempoh sebulan akibat kejadian ban pecah berulang.

"Kali terakhir banjir teruk berlaku 25 tahun lalu, tapi sekarang ban pecah makin kerap.

Iklan

"Saya tak dapat berehat atau tidur lena sebab bimbang keadaan bertambah buruk,” ujarnya.

Salbiah berkata, air mula masuk ke kediamannya kira-kira jam 6 pagi Ahad sebelum melimpah ke seluruh rumah termasuk dua bilik.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Tajuddin Muhammad Hafiz, 33, berkata, kejadian ban pecah menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke PPS setiap kali hujan lebat atau air pasang besar.

Menurutnya, kediaman mereka juga tidak kembali pulih seperti biasa kerana air lambat surut dan penduduk bimbang parasnya naik semula jika berlaku air pasang.

"Keadaan ban sedia ada tidak kukuh kerana hanya disokong timbunan tanah dan batu tanpa struktur konkrit yang mampu bertahan ketika ombak atau arus kuat.

"Kawasan lain yang mempunyai ban lebih tinggi dan kukuh menggunakan tiang serta batu sebagai benteng, sekali gus mengurangkan impak hempasan air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Jefri Zain Mohd Yasin, 53, turut berdepan detik cemas apabila ban pecah menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air.

Katanya, keadaan itu memaksanya berpindah ke PPS tanpa sempat meninjau keadaan sebenar kediamannya.

"Saya tak sempat balik tengok rumah. Mereka suruh berlindung dulu, jadi saya ikut arahan. Rumah tenggelam ke tidak pun saya tak pasti lagi,” katanya.

Jefri yang tinggal bersendirian berkata, rumahnya yang berhampiran pantai sering menjadi lokasi pertama menerima tempias air limpahan apabila ban tidak mampu menahan arus kuat.

“Anak-anak semua duduk luar, jadi saya urus sendiri bila ban pecah, memang saya terus pindah,” katanya.