SHAH ALAM – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor hadir menduduki kertas peperiksaan pertama pada pagi Selasa meskipun sebahagian mereka terkesan dengan banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan awal menunjukkan tiada calon tercicir, walaupun ada yang terpaksa tiba lewat ekoran kesulitan berpindah serta keluarga mereka ditempatkan sementara di pusat pemindahan.
"Saya mahu pastikan keadaan esok dan hari berikutnya juga berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran SELKitar dan Penyerahan Lori Operasi di sini pada Selasa.
Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang mengumpulkan senarai lengkap pelajar terjejas bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan termasuk menyediakan lokasi alternatif lebih selesa jika diperlukan.
Beliau memberitahu, terdapat pelajar berpindah ke rumah rakan, pusat pemindahan sementara (PPS) atau lokasi lain selepas kediaman mereka dinaiki air, namun tetap berusaha hadir ke pusat peperiksaan.
"Ini melibatkan calon persendirian, calon sekolah kerajaan dan juga sekolah yang digunakan sebagai PPS.
"Kita akan pastikan semua mereka dibantu sepenuhnya,” katanya.
Amirudin turut memaklumkan banjir melibatkan lima hingga enam daerah, namun menegaskan kejadian ‘ban pecah’ hanya berlaku di daerah Sabak Bernam.
"Di beberapa kawasan, kejadian berlaku hanyalah limpahan air Sungai Damansara akibat kadar hujan sangat tinggi," jelas beliau.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan menyeluruh berhubung situasi banjir menerusi pejabat Exco terlibat tengah hari ini.
Sementara itu, menerusi kemas kini di Facebook Amirudin memaklumkan, sebanyak 21 PPS telah dibuka bagi menempatkan 2,336 mangsa daripada 634 keluarga di seluruh Selangor setakat jam 8 pagi.