SHAH ALAM – Penduduk Kampung Papan, Pandamaran mengemukakan enam tuntutan kepada Kerajaan Selangor susulan tindakan merobohkan rumah mereka pada minggu lalu.
Penyelaras Gabungan Marhaen, S Arutchelvan yang mewakili penduduk berkata, tuntutan tersebut wajar ditunaikan oleh kerajaan negeri kerana masih terdapat penduduk yang belum mempunyai penempatan selepas kediaman mereka dirobohkan.
“Kami menuntut kerajaan negeri kembali kepada persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 26 Februari 2018.
“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina rumah teres bersaiz 20x70 kaki persegi dengan harga tawaran RM99,000 kepada mereka yang bukan peneroka asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tuntutan kepada kerajaan Selangor di luar pekarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini pada Isnin.
Terdahulu, Arutchelvan menyerahkan memorandum tersebut kepada Pegawai Penasihat Dasar Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Muhammad Azimuddin Mohamed.
Kira-kira 50 penduduk Kampung Papan turut mengadakan bantahan aman di pekarangan bangunan SAAS dengan membawa beberapa sepanduk dan kain rentang bertulis.
Sementara itu, seorang penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata, kerajaan seharusnya menyediakan rumah baharu terlebih dahulu sebelum meminta penduduk berpindah.
“Hendak beli rumah di tempat lain memang tidak mampu kerana saya sudah tidak bekerja. Saya harap kerajaan faham situasi kami,” katanya.