Firdaus Wong persoal rampasan reruai Stree Dakwah MRM tanpa notis saman

Iklan
Firdaus Wong

SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas reruai dan bahan Stree Dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM) pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Firdaus Wong yang juga pengasas MRM berkata, berdasarkan maklumat diterima, tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan yang dirampas.

Iklan
Iklan

Ujar Firdaus Wong, pihaknya telah menjalankan aktiviti dakwah di lokasi sama sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang masalah, malah sebelum ini tidak pernah dimaklumkan keperluan mendapatkan permit kerana mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti jualan serta mengganggu lalu lintas.

"Bayangkan, kita telah lakukan aktiviti ini selama 14 tahun, berpuluh pegawai polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lalu-lalang di kawasan itu.

Iklan

"Kami pernah tanya perlu tak permit dan sebagainya? Mereka (pegawai penguat kuasa) kata tidak perlu permit kerana kami tak mengganggu lalu lintas dan kami tidak membuat jualan.

"Tiba-tiba hari pertama cuti Tahun Baharu Cina, 12 pegawai datang membuat serbuan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, pegawai terbabit didakwa merampas beberapa barangan termasuk kanopi, wagon serta bahan-bahan dakwah yang dipamerkan.

Firdaus Wong turut mempersoalkan sama ada berlaku perubahan polisi atau arahan baharu yang tidak dimaklumkan kepada mereka sebelum tindakan diambil.

Kata beliau, sekiranya benar permit diperlukan, pihak berkuasa sepatutnya memaklumkan terlebih dahulu atau mengeluarkan notis amaran, bukannya terus membuat rampasan.

"Kalau ikut prosedur biasa, setiap rampasan perlu ada senarai inventori tetapi kali ini tiada.

"Kami pun tidak dimaklumkan kesalahan apa yang dilakukan," ujarnya.

Menurut Firdaus Wong, sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa mengenai lokasi barangan yang dirampas dan proses untuk menuntutnya semula.

“Kami tidak tahu di mana barang-barang itu disimpan dan bagaimana hendak membuat tuntutan kerana tiada dokumen diberikan kepada kami,” kata beliau.